[TERKINI] Senarai Lengkap Kabinet Baharu MADANI – Siapa Pegang Portfolio Utama?
MALAYSIA

Jurukimpal dipenjara tiga tahun kendali wang anggota Daish

Bernama 16/12/2025 | 08:00 MYT
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara terhadap tertuduh bermula tarikh dia ditangkap. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang jurukimpal kontrak dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengendalikan wang anggota kumpulan Daish, 10 tahun lepas.


Ringkasan AI
  • Jurukimpal kontrak dijatuhi hukuman penjara tiga tahun selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengendalikan wang anggota kumpulan Daish 10 tahun lepas.
  • Mohd Zairul Mahmud, 40 tahun, didapati bersalah mengendalikan harta pengganas melalui transaksi bank di Bandar Seri Alam, Masai, antara 25 Feb 2015 hingga 8 Mei 2015.
  • Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula tarikh ditangkap; Timbalan Pendakwa Raya menegaskan kepentingan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada masyarakat.


Hakim Nurulhuda Nur'aini Mohamad Nor menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Zairul Mahmud, 40, dan memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 23 Julai lepas.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Mohd Zairul didakwa mengendalikan secara tidak langsung harta seorang pengganas, dengan cara membenarkan kemasukan wang sebanyak RM10,000 dan pengeluaran sebanyak RM6,000 daripada akaun bank milik tertuduh untuk manfaat pengganas terbabit.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di Bandar Seri Alam, Masai, Johor Bahru, antara 25 Feb 2015 hingga 8 Mei 2015, mengikut Seksyen 130Q (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun atau denda dan boleh dirampas apa-apa harta yang dikendalikan itu.

Berdasarkan fakta kes, bertindak atas satu laporan polis, sepasukan anggota polis dari Bahagian Counter-Terrorism Cawangan Khas (E8) Bukit Aman telah membuat tangkapan ke atas tertuduh di sebuah premis di Masai, Johor kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pembiayaan keganasan.

Hasil siasatan oleh pegawai penyiasat mendapati tertuduh telah mengendalikan harta pengganas melalui beberapa transaksi daripada akaun banknya antara 25 Feb 2015 hingga 8 Mei 2015 melalui perkhidmatan ejen pengiriman wang kepada seorang lelaki yang terlibat dengan kumpulan Daish.

Timbalan Pendakwa Raya Yazid Mustaqim Roslan memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan sama.

Mohd Zairul yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan isterinya tidak bekerja dan perlu menanggung empat anak yang masih bersekolah.

"Saya menyesal dengan perbuatan saya, saya mohon hukuman ringan demi keluarga saya," katanya.

-- BERNAMA


#daish #Malaysia #kes mahkamah #pengubahan wang haram