MALAYSIA

Jurukimpal maut dihempap bakul besi jentera pengorek

Bernama 11/12/2025 | 09:15 MYT
Kejadian berlaku ketika mangsa melakukan kerja memateri besi penyambung bakul besi kepada jentera pengorek untuk kerja pembinaan. - Gambar/ PDRM
KUALA NERUS: Seorang jurukimpal maut akibat dihempap bakul besi jentera pengorek di tapak pembinaan pemecah ombak pantai Kampung Tanjung, Batu Rakit, di sini pagi tadi.


Ringkasan AI
  • Jurukimpal meninggal dunia di tapak pembinaan pemecah ombak pantai Kampung Tanjung, Batu Rakit, Kuala Terengganu akibat dihempap bakul besi jentera pengorek.
  • Mangsa, Mohd Rosli Awang, 54 tahun, tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Batu Rakit selepas bakul besi terbalik menghempap belakangnya.
  • Kes ini tidak melibatkan unsur jenayah dan mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Zainal Abidin untuk bedah siasat.


Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata kejadian pada 9.48 pagi berlaku semasa Mohd Rosli Awang, 54, dari Kampung Alur Limbat, Marang melakukan kerja memateri besi penyambung bakul besi kepada jentera pengorek untuk kerja pembinaan.

"Bagaimanapun bakul besi itu tiba-tiba terbalik dan menghempap belakang mangsa. Rakan sekerjanya bergegas mengalihkan bakul berkenaan menggunakan jentera pengorek.

"Mangsa yang tidak sedarkan diri dikejarkan ke Klinik Kesihatan Batu Rakit dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Zainal Abidin untuk bedah siasat dan tiada unsur jenayah dikesan di lokasi kejadian.

-- BERNAMA


#kemalangan di tempat kerja #jentera pengorek #bakul besi jentera pengorek jatuh #Batu Rakit