Juruselam cabul pelancong: Kes tak jejas industri pelancongan Semporna, Sabah - Menteri

Astro Awani
Mei 13, 2023 07:30 MYT
Datuk Christina Liew berkata, kejadian seumpama itu bukan perkara biasa dan tidak akan menjadi sesuatu kebiasaan di Sabah. - Gambar hiasan
KOTA KINABALU: Kejadian seorang jurulatih selam skuba didakwa mencabul seorang pelancong dari China ketika melakukan selaman di Semporna, baru-baru ini tidak akan menjejaskan industri pelancongan di Sabah.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew, berkata kejadian seumpama itu bukan perkara biasa dan tidak akan menjadi sesuatu kebiasaan, malah beliau yakin tidak berulang.
"Dalam setiap industri, akan ada epal buruk. Kejadian ini berlaku di Semporna, kawasan pelancongan kita yang popular tapi saya percaya ia tidak akan menjadi norma, walaupun ia sudah menjejaskan reputasi syurga menyelam di Sabah.
"Jadi saya fikir, pihak polis juga perlu memberi amaran kepada industri penyelam agar lebih berhati-hati.
"Kami sangat kecewa dengan insiden ini. Tapi kita tetap memantau perkara ini lebih teliti dan saya percaya kejadian ini tidak akan berulang," katanya di sini, hari ini.
Pada Jumaat lalu, tular di sosial media satu rakaman pelancong dicium oleh penyelam lelaki semasa aktiviti selam sukba di salah sebuah pulau di Semporna.
Lelaki berusia 27 tahun itu kemudian ditahan reman pada malam Ahad di sebuah tempat penginapan selepas laporan polis diterima daripada mangsa pada Sabtu lalu.
#juruselam cabul pelancong #selam skuba #Pelancong China #Semporna