NATIONAL
Juruteknik didakwa liwat anak tiri perempuan di balkoni rumah
Tertuduh didakwa telah melakukan persetubuhan luar tabii terhadap mangsa yang berusia 9 tahun 10 bulan sewaktu kejadian. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang juruteknik penyaman udara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan meliwat anak tiri perempuannya di balkoni rumah mereka, bulan lepas.
Ringkasan AI
- Seorang juruteknik penyaman udara didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan meliwat anak tiri perempuannya yang berusia 9 tahun 10 bulan di balkoni rumah mereka di Cheras pada 8 April.
- Timbalan Pendakwa Raya tidak menawarkan jaminan kerana tertuduh masih suami kepada ibu mangsa dan berkemungkinan boleh mengganggu saksi. Hakim Zulqarnain Hassan tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 17 Jun untuk sebutan semula kes.
- Peguam tertuduh memohon jaminan atas alasan anak guamnya merupakan penanggung utama keluarga dan perlu menjaga anak-anaknya, termasuk seorang yang menghidap penyakit jantung.
Lelaki berusia 40 tahun itu didakwa sebagai orang yang mempunyai amanah iaitu ayah tiri kepada kanak-kanak tersebut, telah melakukan persetubuhan luar tabii terhadap mangsa yang berusia 9 tahun 10 bulan sewaktu kejadian, tanpa kerelaan di balkoni sebuah pangsapuri di Cheras, dekat sini pada 2 pagi, 8 April.
Pertuduhan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 16 (1) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan tidak lebih 30 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Faizah Khalilah Zaberi tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh mengambil kira faktor dia merupakan ayah tiri mangsa dan berkemungkinan akan mengganggu kanak-kanak itu dan saksi lain sekiranya jaminan dibenarkan.
"Kes ini merupakan kesalahan berat melibatkan jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan tertuduh serta ibu mangsa masih suami isteri yang sah, terdapat kemungkinan dia akan mengganggu mangsa. Mohon mahkamah mempertimbangkan faktor ini," katanya.
Peguam Charanpal Singh mewakili tertuduh memohon anak guamnya yang merupakan penanggung utama keluarga dibenarkan ikat jamin, atas alasan lelaki itu perlu menghantar empat lagi anaknya yang berusia antara tujuh hingga 14 tahun ke sekolah.
"Anaknya yang berusia tujuh tahun menghidap penyakit jantung dan tertuduh bertanggungjawab menghantar anaknya untuk mendapatkan rawatan susulan di hospital.
"Pihak kami juga tidak membantah sekiranya mahkamah ingin menetapkan syarat tambahan lain sekiranya jaminan dibenarkan," kata peguam itu.
Hakim Zulqarnain Hassan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 17 Jun ini untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA