Dua lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar pada Selasa, masing-masing dengan satu dan empat pertuduhan berhubung kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) sejak lima tahun lalu.


Juruteknik kilang, S. Arivainthan , 27, dan pemandu teksi V. Balamurugan, 37, menghadapi pertuduhan memberi sokongan kepada LTTE dalam satu majlis di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar Cawangan Sungai Siput (U) antara 6.30 hingga 11.45 malam pada 28 Disember 2014.


Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sepanjang hayat atau penjara sehingga 30 tahun atau denda dan dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan bagi melakukan kesalahan itu.


Balamurugan turut didakwa tiga pertuduhan memiliki dan mempamerkan item yang berunsur keganasan atau berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE di pekarangan Stesen Teksi Sungai Siput (U) dan di Taman Bukit Medan Sungai Siput (U) antara jam 9.40 pagi dan 9.50 pagi pada 10 Oktober 2019.


Bagi dua tuduhan memiliki item dia didakwa di bawah Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda dan hendaklah juga dilucut hakkan mana-mana item tersebut.


Bagi tuduhan mempamer pula, dia didakwa di bawah Seksyen 130JB (1)(b) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda dan hendaklah juga dilucut hakkan mana-mana item tersebut.


Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh dan tiada jaminan diberikan.


Hakim Rohaida Ishak menetapkan 28 November depan untuk sebutan semula kes bagi penyediaan dokumen.


Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin.


Arivainthan diwakili peguam RSN Rayer manakala Balamurugan diwakili peguam Matthews Jude dan Farhan Fadzil.


Rayer ketika ditemui berkata, mereka akan membuat rayuan di Mahkamah Tinggi Ipoh secepat mungkin untuk mendapatkan ikat jamin kedua-dua tertuduh.