JOHOR BAHRU: Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad atas 25 pertuduhan menerima suapan sebanyak RM16,150, antara 2019 hingga tahun lalu.

Tertuduh, Saifulamin Sabran, 52, yang merupakan Juruteknologi Makmal Perubatan yang bertugas di Jabatan Patologi Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini membuat pengakuan tersebut selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Bagi semua pertuduhan itu, lelaki berkenaan sebagai penjawat awam didakwa setuju menerima untuk dirinya keseluruhan sebanyak RM16,150 daripada enam individu tanpa balasan yang mana tertuduh tahu ia ada kaitan dengan tugas rasminya.

Semua wang antara RM500 hingga RM2,000 itu didakwa diterima melalui beberapa akaun milik enam individu yang menjadi pengantara di dua bank dekat enam cawangan berbeza sekitar Johor Bahru, Kota Tinggi, Kulai dan Kluang.

Bagi perbuatan yang didakwa dilakukan antara 17 Ogos 2019 hingga 19 Januari 2023, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Julaila Jamaludin mencadangkan jumlah jaminan bagi semua pertuduhan sebanyak RM13,000 dengan tiga syarat tambahan iaitu tertuduh atau wakilnya dilarang mengganggu saksi, lapor diri di pejabat SPRM Johor Bahru sebulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Shaik Saleem SM Daud bagaimanapun, memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan isteri anak guamnya tidak bekerja dan mempunyai tiga anak termasuk yang masih bersekolah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta tiga syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 21 April ini. - Sinar Harian