Jurutera kilang maut tercampak dalam longkang

Adie Sufian Zulkefli
Februari 16, 2023 04:20 MYT
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala. -Foto PDRM
SUNGAI PETANI: Seorang jurutera kilang maut selepas tercampak ke dalam longkang dalam nahas jalan raya di kilometer 60.4 Jalan Alor Setar-Butterworth, dekat sini, malam tadi.
Mangsa Hemraj a/l Murugan, 22, berasal dari Taman Emas, Bedong, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner, Zaidy Che Hassan berkata, kejadian berlaku jam 11.20 malam ketika mangsa menunggang motosikal jenis Honda CBR500.
“Ketika kejadian, sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu seorang lelaki berusia 45 tahun berada di belakang motosikal mangsa.
“Setiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai membelok ke kiri secara mengejut untuk masuk ke kawasan rumah kedai. Pemandu kereta tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal mangsa.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa hilang kawalan mengakibatkan motosikal terseret ke atas jalan dan mangsa tercampak ke dalam longkang di bahu kiri jalan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Zaidy berkata, mangsa maut selepas mengalami kecederaan parah di kepala, manakala pemandu kereta Vios tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk bedah siasat.
Menurut Zaidy, hasil siasatan awal polis, kemalangan berpunca daripada kecuaian penunggang motosikal yang membelok ke kiri secara mengejut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
#penunggang motosikal #jurutera kilang #Jalan Alor Setar-Butterworth #Hemraj a l Murugan