[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

Jurutera rugi lebih RM300,000 terperdaya skim pelaburan tidak wujud

Bernama 27/11/2025 | 08:45 MYT
Mangsa mendakwa melakukan 11 transaksi pembayaran ke tiga akaun bank dari 21 Oktober hingga 19 November menggunakan wang simpanannya.
JOHOR BAHRU: Seorang jurutera lelaki tempatan kerugian RM341,331.19 selepas terperdaya skim pelaburan tidak wujud yang menawarkan pulangan sehingga 500 peratus sebulan, bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Seri Alam ACP Mohd Sohaimi Ishak berkata mangsa berusia 33 tahun mendakwa melakukan 11 transaksi pembayaran ke tiga akaun bank dari 21 Oktober hingga 19 November menggunakan wang simpanannya.

"Mangsa tidak pernah menerima pulangan sepanjang tempoh itu dan sedar ditipu apabila diminta membuat bayaran tambahan untuk nenuntut keuntungan berjumlah RM617,206.95," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Orang ramai dinasihatkan tidak terperdaya dengan tawaran pelaburan menjanjikan keuntungan luar biasa dalam tempoh singkat, membuat semakan dengan pihak berkuasa dan tidak memberikan maklumat peribadi atau perbankan kepada pihak tidak dikenali.

-- BERNAMA

#scam #sindiket penipuan #pelaburan tidak wujud #mangsa kerugian #polis