Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

Jurutera rugi RM247,000 terperdaya pelaburan tidak wujud

Bernama 21/11/2025 | 14:30 MYT
Zulkipli berkata mangsa membuat laporan semalam, mendakwa melihat iklan pelaburan itu pada 1 Sept di Facebook. - Gambar fail/Bernama
SIBU: Seorang jurutera lelaki berusia dalam lingkungan 20-an kerugian RM247,000 selepas terperdaya pelaburan tidak wujud menerusi iklan media sosial, dua bulan lepas.


Ringkasan AI
  • Jurutera lelaki berusia 20-an rugi RM247,000 selepas terperdaya pelaburan tidak wujud melalui iklan media sosial, dilaporkan kepada polis.
  • Mangsa membuat 15 transaksi tanpa dokumen rasmi selepas melihat iklan pelaburan di Facebook, sebelum ditipu untuk menambah pelaburan sebanyak RM250,000.
  • Siasatan polis dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, dengan nasihat kepada orang ramai agar berhati-hati dengan tawaran pulangan tinggi serta menyemak kesahihan syarikat pelaburan.


Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata mangsa membuat laporan semalam, mendakwa melihat iklan pelaburan itu pada 1 Sept di Facebook.

"Mangsa menekan pautan pada iklan dan menerima mesej melalui beberapa nombor WhatsApp, sebelum dimasukkan ke sebuah kumpulan penerangan pelaburan saham serta diarahkan memuat turun satu aplikasi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zulkipli berkata mangsa membuat 15 transaksi dari 20 Okt hingga 9 Nov ke akaun tempatan dan tidak pernah menerima dokumen rasmi atau perjanjian bertulis sebaliknya hanya berhubung melalui WhatsApp.

Mangsa hanya menerima pulangan sekali berjumlah RM28,000 untuk meyakinkannya terus melabur sebelum berasa ditipu kerana diminta menambah pelaburan sebanyak RM250,000.

Zulkipli berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau menasihatkan orang ramai berhati-hati dengan tawaran pulangan pelaburan tinggi dan menyemak kesahihan syarikat atau laman sesawang melalui pautan Bank Negara Malaysia www.bnm.gov.my atau BNM Telelink (1-300-88-5465) atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia www.sc.com.my atau talian 03-6204 8999.

-- BERNAMA


#Bank Negara Malaysia #Facebook #media sosial #WhatsApp