MALAYSIA

JWP, agensi terlibat komited laksana Kembara Diraja - Dr Zaliha

Bernama 04/06/2025 | 01:00 MYT
Sultan Ibrahim akan mengadakan Kembara Diraja ke seluruh Wilayah Persekutuan bagi membolehkan Seri Paduka Baginda melihat sendiri kehidupan rakyat dan mengagihkan duit zakat kepada orang miskin dan asnaf yang lapan. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa mengarahkan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan kesemua agensi di bawahnya untuk menyelaraskan pelaksanaan Kembara Diraja sebagai tanda menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Menerusi kenyataan di laman Facebook, beliau berkata, kembara itu akan menjadi ruang untuk Seri Paduka Baginda mencemar duli menyantuni rakyat jelata di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan serta menyampaikan bantuan zakat kepada golongan yang memerlukan.

Pada Isnin, Sultan Ibrahim bertitah akan mengadakan Kembara Diraja ke seluruh Wilayah Persekutuan bagi membolehkan Seri Paduka Baginda melihat sendiri kehidupan rakyat dan mengagihkan duit zakat kepada orang miskin dan asnaf yang lapan.

Seri Paduka Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2025 bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara, di sini.

Sementara itu, Dr Zaliha berkata, JWP turut menjunjung titah Seri Paduka Baginda yang menekankan keperluan penjawat awam untuk menjunjung prinsip Kesetiaan kepada Raja dan Negara, bertepatan dengan budaya kerja HARMONI yang telah diperkenalkan di Wilayah Persekutuan sebagai asas kepada tatakelola yang baik.

"Sebagai jentera pelaksana dasar, warga JWP akan terus komited dalam memperkasakan penyampaian perkhidmatan awam yang cekap, berintegriti dan berorientasikan rakyat, sejajar dengan semangat Malaysia MADANI," katanya.

-- BERNAMA





#Kembara Diraja #Jabatan Wilayah Persekutuan #Zaliha Mustafa #Yang di-Pertuan Agong