Kabinet baharu: Ismail Sabri tiba di Istana Abdulaziz

Ridauddin Daud
Ogos 26, 2021 02:57 MYT
Kenderaan membawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilihat memasuki Istana Abdulaziz, Kuantan pada jam 10.53 pagi tadi. -Astro AWANI
KUANTAN: Kenderaan membawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilihat memasuki Istana Abdulaziz, Kuantan pada jam 10.53 pagi tadi.
Perdana Menteri dilaporkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mempersembahkan cadangan barisan Kabinet kepada Seri Paduka Baginda untuk diperkenankan.
Ismail Sabri yang tiba dengan kenderaan berwarna gelap sempat melambaikan tangan kepada media yang berkumpul di pekarangan istana.
Lazimnya, selepas Yang di-Pertuan Agong memperkenankan cadangan tersebut, Perdana Menteri akan mengumumkan barisan Kabinet untuk memimpin kerajaan.
Astro AWANI pada Isnin melaporkan Ismail Sabri berkata senarai jemaah menteri Kabinet akan diumumkan minggu ini selepas mendapat perkenan Al-Sultan Abdullah.
Menurut Perdana Menteri, senarai jemaah menteri akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu sebelum diumumkan.
"Tunggu pengumuman, kalau saya umum hari ini sudah tidak suspen, dalam minggu ini saya akan umumkan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong," katanya dalam sidang media selepas membuat lawatan lawatan kerja rasmi pertamanya ke daerah Kuala Muda dan Yan pada Isnin.
#ismail sabri yaakob #Yang di-Pertuan Agong #senarai anggota Kabinet #Istana Abdulaziz