KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperincikan mengenai cadangan penganjuran sukan Komanwel 2026 dalam mesyuarat Jemaah Menteri, pada Jumaat. 

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, sebarang keputusan memerlukan penelitian terperinci dan tidak boleh diputuskan secara sambil lewa.

"Setakat ini pendirian kerajaan Persekutuan belum diketahui tetapi saya boleh nyatakan pandangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) iaitu apa yang pasti KBS sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan nombor satu dan tidak sama sekali membazirkan wang pembayar cukai jika pun bersedia untuk menganjurkannya.

"Kita akan pastikan pendekatan konservatif diambil setiap kali ia melibatkan duit rakyat. Jika kerajaan bersetuju untuk melaksanakannya, KBS mencadangkan perbelanjaan tidak melebihi geran yang diberikan oleh CGF (Persekutuan Sukan Komanwel),” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian kepada soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) yang ingin tahu pendirian kerajaan terhadap tawaran Malaysia untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 selepas Victoria, Australia menarik diri. 

Sehubungan itu, Hannah Yeoh memberitahu, KBS menetapkan tiga garis panduan sebagai rujukan sebelum sebarang keputusan diambil.

"Sekiranya kerajaan bersetuju untuk melaksanakannya, KBS mencadangkan perbelanjaan tidak melebihi geran Yang diberikan oleh CGF (Persekutuan Sukan Komanwel) dan jika wang rakyat jika terpaksa digunakan, mungkin pilihan terbaik yang akan diambil oleh kerajaan ialah untuk tidak mengadakan (sukan tersebut).

"'Keduanya, KBS bersedia melantik badan pengawal untuk membuatr audit kepada akaun penganjuran jika keputusan dibuat untuk Malaysia menganjurkannya," jelasnya.

Menurut Hannah, KBS akan memastikan tata kelola yang betul dikuti, pengurusan kewangan yang telus, segala kos dan perbelanjaan direkodkan dengan teratur supaya akaun penganjuran boleh ditutup dengan pantas dan baik.

Nasib Sukan Komanwel 2026 masih menjadi tanda tanya selepas Victoria di Australia, yang sepatutnya menjadi tuan rumah edisi ke-23 itu, menarik diri pada Julai tahun lepas kerana peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal AUD2.6 bilion (lebih kurang RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (lebih kurang RM21.78 bilion).

Kerajaan Victoria juga dilaporkan bersetuju untuk membayar AUD380 juta kerana melanggar kontrak, apabila tidak dapat menganjurkan temasya itu mengikut jadual bermula 17 hingga 29 Mac, 2026.

Dari 74 negara dan wilayah yang menjadi ahli Persekutuan Sukan Komanwel (CGF), hanya England, Kanada, Australia, Wales, New Zealand, Jamaica, Scotland, India dan Malaysia (1998) pernah menganjurkan temasya itu.