MALAYSIA

Kabinet dijangka bincang tarif 25 peratus AS esok - Johari

Sinar Harian 08/07/2025 | 08:00 MYT
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Malaysia masih boleh berunding dengan AS berhubung tarif itu sehingga 1 Ogos. - Foto Astro AWANI
SHAH ALAM: Kabinet dijangka akan membincangkan mengenai tarif import 25 peratus yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap Malaysia pada Rabu ini.


Ringkasan AI
  • Kabinet Malaysia akan membincangkan isu tarif import 25% oleh Amerika Syarikat pada Rabu, susulan rundingan selama 90 hari yang masih dibuka sehingga 1 Ogos.
  • Malaysia bukan pembekal eksklusif kepada AS, dengan eksport komoditi bernilai RM20 bilion daripada keseluruhan RM186 bilion; Johari menekankan keperluan mencari pasaran alternatif.
  • Penyertaan Malaysia dalam BRICS tidak dianggap sebagai punca kenaikan tarif, dan kerajaan menolak risiko tambahan akibat hubungan geopolitik, sambil menegaskan kepentingan perdagangan global yang lebih luas.


Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Malaysia bagaimanapun masih boleh berunding dengan AS berhubung tarif itu sehingga 1 Ogos.

“(Selama) 90 hari Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berunding, nampaknya mereka beri hingga 1 Ogos untuk lanjutkan (rundingan) tetapi dia sudah naikkan (tarif) daripada 24 kepada 25 peratus.

"Kita tunggu. Saya rasa Kabinet akan bincangkan perkara ini esok,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Projek Transformasi Kampus Taylor’s International School Kuala Lumpur (TISKL) di Kuala Lumpur pada Selasa.

Sebelum ini, AS dilapor mengenakan tarif lebih tinggi sebanyak 25 peratus ke atas semua produk Malaysia yang dieksport ke negara itu berkuat kuasa 1 Ogos tahun ini, berasingan daripada semua tarif sektor.

Angka itu adalah satu peratus lebih tinggi berbanding dengan tarif yang diumumkan pada April.

Dalam dua pucuk surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang dimuat naik di akaun Truth Social pada Isnin, Presiden AS, Donald Trump berkata, angka 25 peratus itu jauh lebih rendah daripada perkara yang diperlukan untuk menghapuskan ketidakseimbangan defisit perdagangan yang AS alami dengan Malaysia.

Mengulas lanjut, Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, jumlah eksport komoditi negara ke AS hanyalah kira-kira RM20 bilion daripada jumlah keseluruhan RM186 bilion.

Ujarnya, daripada jumlah RM20 bilion itu, Malaysia bukanlah pembekal eksklusif.

"Minyak kelapa sawit, produk oleokimia (dan) sarung tangan getah dia tak hasilkan, tetapi kita kena bersaing dengan negara lain," katanya.

Sementara itu, Johari turut menolak risiko penyertaan Malaysia dalam BRICS akan menyebabkan AS menaikkan lagi tarif import dikenakan kepada negara.

Menurutnya, Malaysia juga perlu mencari pasaran baharu selain dari AS.

"Dalam dunia ini, kita ada lebih 190 negara. Takkan satu negara buat kita macam ini, kita rasa macam tak boleh bertahan. Tak boleh. Kita kena cari pasaran baharu," katanya.





#Kabinet bincang #tarif Amerika Syarikat #JOHARI ABDUL GHANI #BRICS #Donald Trump #terkini