KUCHING: Pelantikan Datuk Seri Tiong King Sing sebagai Menteri Pelancongan akan mengukuhkan lagi kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan terutama soal pengurusan agenda serta industri pelancongan dalam negara.

Sambil menyambut baik pelantikan itu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, King Sing mempunyai latar belakang menarik serta seorang pemimpin yang tegas dalam pelaksanaan polisi kerajaan sekali gus memastikan pentadbiran yang berkualiti.

“Dengan adanya rakyat Sarawak dilantik menguruskan Kementerian Pelancongan Malaysia, ini akan memudahkan kementerian saya untuk kita berurusan dan bagaimana kita akan melakukan kerjasama dengan beliau selepas ini.

“Kita tahu Datuk seri Tiong King Sing, mempunyai karakternya tersendiri yang mana ramai orang Sarawak tahu dan sebelum ini beliau selalu membuat teguran-teguran terhadap pihak imigresen, teguran terhadap pihak polis, teguran terhadap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan sebagainya.

“Sekarang beliau diletakkan sebagai menteri, maka beliau perlu lebih tegas kepada setiap perkara yang berada di bawah bidang kuasa beliau sebagai Menteri Pelancongan, dan hal ini, kementerian saya amat gembira untuk bekerjasama dengan beliau,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Sarawak Road Trip di Kuching Waterfront di sini pada Sabtu.

Selain itu, Abdul Karim yakin pelantikan Ahli Parlimen Kapit sebagai Menteri Kerja Raya tepat dalam memberi anjakan pembangunan termasuk infrastruktur jalan raya menghubungkan kawasan pedalaman dengan lebih cepat serta strategik.

“Kita merasa bertuah kerana sebelum ini menteri yang menjaga kementerian ini adalah menteri berpengalaman dan kini disambut oleh Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, kedua-duanya daripada Sarawak dan saya percaya mereka dapat memahami kehendak, kemahuan serta apakah bentuk kerumitan yang ada di Sarawak.

“Beliau (Datuk Seri Alexander) bukanlah daripada bandar,  parlimen beliau di Kapit kawasan pedalaman, beliau lebih memahami keadaan penduduk di sana, harapan kita adalah untuk melihat kesinambungan dari apa yang telah diusahakan Datuk Seri Fadillah Yusof untuk Sarawak sebelum ini diteruskan, meningkatkan jaringan lebuh raya, jalan raya masuk ke pedalaman dan dalam bandar,” katanya.

Mengulas soal pelantikan lima menteri dan Timbalan Perdana Menteri (TPM) daripada Sarawak, Naib Presiden parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu yakin ia adalah satu permulaan kepada perjalanan yang lebih baik buat negara khasnya kepada negeri Sarawak.

“Kita cukup terharu dan bangga sekali dengan lantikan lima orang kabinet kerajaan persekutuan daripada Sarawak, dan jumlah ini bertambah daripada empat sebelum ini dan ini adalah satu permulaan yang sangat baik. Sejarah juga telah tercipta kerana pertama kali ada TPM yang diwakili daripada  blok borneo Sabah dan Sarawak,” ujarnya lanjut.