[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
NATIONAL

KADA pertimbang jenama sendiri bagi beras Kelantan

Bernama 27/04/2025 | 07:45 MYT
Pengerusi KADA, Khalid Abdul Samad ditemui pemberita pada Majlis Libat Urus dan Ramah Mesra Bersama Warga Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan hari ini. - Foto Bernama
KOTA BHARU: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) mempertimbangkan usaha untuk memperkenalkan jenama sendiri bagi beras keluaran Kelantan, kata Pengerusinya Khalid Abdul Samad.

Ringkasan AI
  • KADA mempertimbangkan usaha memperkenalkan jenama sendiri bagi beras Kelantan, namun perlu berbincang dengan KPKM kerana KADA masih belum memiliki kilang pemprosesan sendiri di negeri itu.
  • Musim kemarau tahun ini tidak seburuk jangkaan, malah beberapa kawasan seperti Pasir Mas mencatatkan hasil padi tinggi hingga 7.2 tan per hektar berbanding unjuran konvensional sekitar 4 tan sehektar.
  • Teknologi moden seperti penggunaan dron membantu meningkatkan hasil padi, dengan pengeluaran dijangka melebihi sasaran awal 215,000 tan, memberikan harapan kepada petani selepas dua musim tanpa hasil.

Beliau berkata bagaimanapun, langkah itu memerlukan perbincangan dengan pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memandangkan KADA ketika ini tidak mempunyai kilang pemprosesan sendiri di negeri itu.
"Soal penjenamaan untuk kita katakan ini beras daripada Kelantan ataupun daripada KADA memang boleh dipertimbangkan tetapi kita perlu rujuk kepada kementerian (KPKM).
"Kebanyakan hasil padi dihantar ke kilang di luar untuk diproses. Bagi mencapai matlamat penjenamaan ini, kita perlu ada kilang di sini yang boleh melakukan pembungkusan dan penjenamaan, supaya dapat menonjolkan hasil bumi Kelantan," katanya kepada pemberita selepas majlis libat urus dan ramah mesra bersama warga KPKM Negeri Kelantan di sini hari ini.
Mengulas mengenai isu kemarau, Khalid berkata musim ini tidak seburuk seperti yang dijangkakan malah terdapat kawasan yang mencatatkan hasil padi memberangsangkan.
"Alhamdulillah, kemarau tahun ini tidak seperti tahun lepas. Dalam bulan yang sepatutnya kemarau, kita masih menerima hujan dan ada juga kawasan yang banjir. Ini menyebabkan kita tidak menghadapi masalah bekalan air," katanya.
Khalid berkata hasil padi juga menunjukkan peningkatan ketara, termasuk di Pasir Mas yang mencatatkan hasil hingga 7.2 tan per hektar, berbanding unjuran konvensional sekitar 4 tan sehektar.
"Kita menggunakan teknologi seperti dron dan amalan pertanian moden untuk meningkatkan hasil. Kebanyakan kawasan di bawah seliaan KADA kini sedang menuai dan hasilnya jauh lebih baik daripada tahun lepas," katanya.
Beliau berkata sasaran awal KADA bagi pengeluaran padi ialah 215,000 tan untuk musim ini namun angka sebenar dijangka melebihi jangkaan berdasarkan prestasi semasa di lapangan.
"Kebanyakan petani yang kita temui juga meluahkan rasa syukur kerana selepas dua musim tanpa hasil, kali ini bukan sahaja ada hasil malah ada yang melebihi jangkaan," katanya.
-- BERNAMA
#Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu #KADA #beras Kelantan #jenama sendiri #Khalid Abdul Samad #terkini