Skip to main content

Malaysia

Kadar gaji minimum RM2,000 ditetap selepas penelitian teliti – Ramanan

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan pada Sidang Media mengenai Perintah Gaji Minimum 2027 di Menara PERKESO hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan pada Sidang Media mengenai Perintah Gaji Minimum 2027 di Menara PERKESO hari ini. - Foto BERNAMA

Advertisement

Ringkasan AI

  • Kerajaan menetapkan kadar gaji minimum RM2,000 sebulan berkuat kuasa Jun 2027 selepas penelitian teliti pelbagai faktor ekonomi dan inflasi.
  • Majlis Perundingan Gaji Negara meneliti cadangan sebelum dikemukakan kepada Perdana Menteri untuk pertimbangan dan keputusan akhir.
  • Perusahaan mikro, kecil dan sederhana dengan hasil jualan di bawah RM50 juta dikecualikan daripada pelaksanaan kadar baharu itu.

PUTRAJAYA: Penetapan kadar gaji minimum sebanyak RM2,000 sebulan yang berkuat kuasa mulai Jun 2027 dibuat selepas penelitian teliti dengan mengambil kira pelbagai faktor, termasuk kesan terhadap inflasi dan harga barang, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan.

Beliau berkata cadangan itu diteliti oleh Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) yang dipengerusikan oleh Tan Sri Zainal Rahim Seman sebelum dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk pertimbangan dan keputusan.

Ramanan berkata kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati bagi memastikan kenaikan gaji minimum itu bersesuaian dengan keupayaan ekonomi dan tidak membebankan industri, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Kita membuat pengiraan dengan teliti. Kenaikan ini tidak dibuat secara mendadak sehingga mencecah RM3,000 hingga RM3,500 seperti yang dicadangkan oleh beberapa pihak.

“Hal ini kerana kita perlu mengambil kira kesan kenaikan gaji terhadap harga barang dan inflasi,” katanya pada sidang media mengenai Perintah Gaji Minimum 2027 di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan turut memastikan dasar berkenaan dapat dilaksanakan secara berperingkat dan sistematik bagi memberi ruang kepada majikan menyesuaikan operasi perniagaan masing-masing.

“Kita tidak boleh menyekat industri. Mereka perlu diberi ruang untuk bernafas. Jika setiap sektor industri dibebani secara mendadak, inflasi boleh meningkat dan harga barang turut naik.

“Oleh itu, pelaksanaan perlu dilakukan secara berperingkat dan sistematik,” katanya.

Mengulas sama ada Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerima aduan berhubung pengumuman itu, Ramanan berkata kementerian sentiasa terbuka terhadap pandangan dan maklum balas daripada pelbagai pihak.

Beliau berkata penetapan kadar berkenaan dibuat selepas pertimbangan rapi bagi memastikan ekonomi berupaya menampung kenaikan gaji itu.

Sebelum ini, Anwar mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih empat juta pekerja.

Perdana Menteri dilaporkan berkata perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang mempunyai hasil jualan di bawah RM50 juta dikecualikan daripada pelaksanaan kadar baharu itu bagi memberi ruang kepada mereka menyesuaikan model perniagaan masing-masing.

Anwar turut memaklumkan bahawa kerajaan akan melaksanakan pembaharuan kerangka pendapatan pekerja, termasuk memperkenalkan gaji minimum RM2,500 sebulan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan sebagai langkah permulaan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement