KUALA LUMPUR: Walaupun inflasi diunjur meningkat sedikit pada 2024, namun kadar itu masih terkawal dan boleh diuruskan oleh kerajaan dengan kerjasama semua pihak termasuk peserta industri, peniaga dan pengguna, menurut Kementerian Ekonomi.

Kementerian itu menjelaskan bahawa Kementerian Kewangan melalui penerbitan Tinjauan Ekonomi 2024 mengunjurkan kadar inflasi bagi 2024 adalah di antara 2.1 peratus hingga 3.6 peratus.

"Keadaan ini sebahagiannya disebabkan oleh jangkaan peralihan secara berperingkat ke arah mekanisme pelaksanaan subsidi bersasar bagi memastikan pengagihan sumber yang lebih saksama.

"Peratus kenaikan ini adalah dalam lingkungan unjuran oleh MIDF Research bagi 2024, iaitu 3.2 peratus," tambah Kementerian Ekonomi menerusi jawapan bertulis bertarikh 5 Mac yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Jawapan itu bagi menjawab soalan Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) mengenai inisiatif untuk menghadapi krisis inflasi berikutan MIDF Research menjangkakan inflasi Malaysia pada tahun ini meningkat kepada 3.2 peratus.

Kementerian Ekonomi menjelaskan kedudukan fiskal kerajaan semakin mencabar dan memerlukan komitmen untuk menyasarkan semula subsidi yang merupakan antara komponen utama dalam belanjawan mengurus.

"Walau bagaimanapun, kesejahteraan rakyat secara keseluruhan perlu diutamakan.

"Oleh yang demikian, kerajaan perlu memilih kaedah penyasaran semula subsidi yang dapat mengimbangi matlamat kerajaan untuk menambah baik kedudukan fiskal dan dalam masa yang sama mengurangkan impak ke atas kos sara hidup yang ditanggung oleh rakyat," tambahnya.

Kementerian itu memaklumkan bahawa kerajaan telah mengenal pasti beberapa program dan inisiatif bagi memastikan kebajikan rakyat terpelihara seperti meningkatkan nilai keseluruhan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2024 kepada RM10 bilion, meningkatkan bekalan dan jaminan makanan dengan menambah stok pelbagai barangan makanan serta menambah baik kecekapan pengagihan bagi memastikan bekalan tidak terganggu.

Kerajaan turut meneruskan inisiatif Payung Rahmah antaranya program Jualan Rahmah, Bakul Rahmah dan Menu Rahmah bagi mengurangkan kesan kos sara hidup rakyat di samping meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan harga yang berpatutan serta mengelakkan aktiviti mengaut keuntungan secara berlebihan.

-- BERNAMA