MALAYSIA
Kadar kebolehpasaran graduan TVET pertanian cecah 81.23 peratus - Mohamad Sabu
Datuk Seri Mohamad Sabu (dua, kanan) singgah ke reruai jualan selepas merasmikan Karnival TVET Pertanian @KPKM 2025 di sini hari ini. - Bernama
SHAH ALAM: Kadar kebolehpasaran graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Pertanian di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) meningkat kepada 81.23 peratus pada tahun lepas, berbanding 78.1 peratus pada 2023.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata walaupun masih di bawah purata nasional, TVET Pertanian kekal menunjukkan tren peningkatan sejak lima lepas.
Beliau berkata seiring Revolusi Industri 4.0, sektor pertanian menuntut pendekatan baharu untuk meningkatkan produktiviti, khususnya melalui teknologi robotik internet kebendaan (IoT) dan kecerdasan buatan (AI) bagi membantu petani meningkatkan produktiviti dengan sumber yang minimum.
"Pertanian moden bukan lagi tentang cangkul dan tanah semata-mata tetapi saya pasti pelajar-pelajar TVET faham ia adalah mengenai teknologi tinggi, automasi, dron, termasuk pertanian pintar demi jaminan masa hadapan.
"Oleh itu, TVET dilihat sebagai pemangkin dan memainkan peranan penting bagi melahirkan bakat muda yang bukan sahaja mahir dalam aspek teori, tetapi yang utama cekap dalam aplikasi praktikal," katanya ketika berucap pada Karnival TVET Pertanian@KPKM di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad berkata bagi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), kadar kebolehpasaran graduan yang tertinggi adalah dalam bidang poltri iaitu sebanyak 100 peratus diikuti bidang ruminan dan bidang penyelenggaraan jentera kecil pertanian dengan masing-masing 93.2 peratus dan 92.3 peratus.
Beliau berkata terdapat dua bidang yang mempunyai kadar kebolehpasaran yang sama, pada kadar 91.7 peratus iaitu bidang perikanan tangkapan dan pengeluaran padi.
"Setakat ini, kementerian ini menghasilkan 25,783 graduan terlatih sejak Program Latihan Kemahiran Pertanian Kebangsaan (PLKPK) dimulakan pada 1969.
"Kita harap dengan pertambahan jumlah tenaga mahir dalam bidang ini, kita dapat mempertingkatkan daya saing industri agromakanan negara di pasaran global dan seterusnya menjamin kelangsungan bekalan makanan negara," katanya.
Karnival TVET Pertanian@KPKM menghimpunkan 460 pelajar TVET Pertanian serta lebih 200 warga kerja daripada 16 institut latihan TVET pertanian seluruh negara dengan 45 inovasi baharu turut diperkenalkan.
-- BERNAMA