MALAYSIA

Kadar kebolehpasaran graduan TVET Pertanian KPKM cecah 81.23 peratus

Shafiqa Azami 28/06/2025 | 07:15 MYT
Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, walaupun kadar itu masih di bawah purata nasional, ia kekal menunjukkan trend peningkatan sejak lima tahun lalu. - Gambar fail
SHAH ALAM: Kadar kebolehpasaran graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Pertanian di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) terus meningkat kepada 81.23 peratus pada 2024 berbanding 78.1 peratus tahun sebelumnya.

Ringkasan AI
  • Kadar kebolehpasaran graduan TVET Pertanian di bawah KPKM meningkat kepada 81.23 peratus pada 2024, dengan bidang penternakan unggas mencatatkan kadar tertinggi iaitu 100 peratus hasil kerjasama industri seperti QL Resources.
  • Sejak 1969, lebih 25,000 graduan telah dilahirkan melalui Program Latihan Kemahiran Pertanian Kebangsaan (PLKPK), dan KPKM kini memberi tumpuan kepada pembangunan agropreneur muda melalui bantuan geran Start-Up dan Scale-Up.
  • Karnival TVET Pertanian@KPKM menghimpunkan 460 pelajar dan lebih 200 warga kerja dari 16 institut latihan, memperkenalkan 45 inovasi baharu serta mempromosikan potensi TVET Pertanian kepada masyarakat umum.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, walaupun kadar itu masih di bawah purata nasional, ia kekal menunjukkan trend peningkatan sejak lima tahun lalu.
“Kerjasama strategik bersama industri terus diperkukuh bagi memastikan graduan TVET Pertanian yang kita lahirkan dapat diserap masuk ke dalam bidang berkaitan.
“Contohnya semua graduan dalam bidang unggas di Institut Teknologi Unggas berjaya mendapat pekerjaan hasil kerjasama dengan QL Resources sebagai syarikat anchor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival TVET Pertanian@KPKM di Dewan Aster, MBSA, Kemuning Utama, Shah Alam pada Sabtu.
Bagi program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), bidang penternakan unggas mencatatkan kadar kebolehpasaran tertinggi iaitu 100 peratus, diikuti bidang ruminan (93.2%) dan penyelenggaraan jentera kecil pertanian (92.3%) manakala bidang perikanan tangkapan dan pengeluaran padi masing-masing merekodkan kadar 91.7 peratus.
Sejak pelaksanaan Program Latihan Kemahiran Pertanian Kebangsaan (PLKPK) pada 1969, lebih 25,000 graduan terlatih telah berjaya dilahirkan bagi mengisi keperluan tenaga mahir dalam sektor agromakanan negara.
Dalam pada itu, KPKM turut memberi penekanan kepada pembangunan agropreneur muda melalui Program Agropreneur Muda yang menawarkan dua jenis bantuan geran, iaitu Geran Start-Up dengan nilai maksimum RM30,000 dan Geran Scale-Up sehingga RM50,000 bagi menyokong penggunaan teknologi moden seperti pertanian terkawal, pertanian bandar, IoT dan kecerdasan buatan (AI).
Mohamad berkata pertambahan jumlah tenaga mahir dan agropreneur berteknologi tinggi ini diyakini dapat meningkatkan daya saing industri agromakanan di pasaran global serta menjamin kelangsungan bekalan makanan negara.
Karnival TVET Pertanian@KPKM yang menghimpunkan 460 pelajar TVET Pertanian serta lebih 200 warga kerja dari 16 institut latihan TVET pertanian seluruh negara.
Sebanyak 45 inovasi baharu telah diperkenalkan sempena program tersebut yang turut bertujuan merapatkan hubungan antara institut latihan di bawah KPKM serta mempromosikan potensi TVET Pertanian kepada masyarakat umum.
#TVET pertanian #Mohamad Sabu #Kadar Kebolehpasaran #peluang pekerjaan