NATIONAL

Kadar kelahiran Malaysia turun 11.5%, rekod terendah dalam sejarah - DOSM

Nina Rozman 14/05/2025 | 04:50 MYT
Pada suku pertama tahun ini, Selangor mencatat bilangan kelahiran tertinggi dengan 18,254 (19.5 peratus), manakala Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan yang terendah dengan 278 kelahiran (0.3 peratus). - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Jumlah kelahiran hidup di Malaysia merekodkan penurunan sebanyak 11.5 peratus kepada 93,500 berbanding 105,613 kelahiran pada suku tahun pertama 2024, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.
Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah kelahiran hidup pada suku pertama 2025 merupakan rekod terendah pernah dicatatkan, dengan nisbah jantina bagi kelahiran hidup ialah 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan.
"Selangor mencatatkan bilangan kelahiran tertinggi dengan 18,254 (19.5 peratus), manakala Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan yang terendah dengan 278 kelahiran (0.3 peratus)," tambah beliau.
Majoriti kelahiran direkodkan daripada ibu berusia 30-39 tahun dengan 49,816 kelahiran (53.3 peratus), diikuti oleh kumpulan umur 20-29 tahun (39.3 peratus).
Hanya 1.4 peratus kelahiran melibatkan ibu berumur kurang daripada 20 tahun, manakala terdapat tiga kelahiran dicatatkan oleh ibu yang berusia 55 tahun dan ke atas.
Selain itu, dari segi etnik, Melayu menyumbang 68.8 peratus (64,326 kelahiran), diikuti oleh Bumiputera Lain (12.6 peratus), Cina (8.6 peratus) dan India (3.8 peratus).
Penurunan ketara dicatatkan dalam kalangan etnik Cina dan India, masing-masing berkurang sebanyak 1 peratus dan 0.4 peratus berbanding suku pertama 2024.
Bagi tempoh sama, sebanyak 48,130 kematian direkodkan, menurun 2.0 peratus berbanding 49,117 pada suku pertama 2024.
Selangor kekal mencatatkan jumlah kematian tertinggi dengan 7,710 kematian (16.0%) manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya paling rendah dengan 84 kematian (0.2%).
Laporan juga menunjukkan bahawa penduduk berumur 60 tahun dan ke atas mencatatkan bilangan kematian tertinggi dengan 34,468 kes (71.6 peratus).
Manakala, dari segi etnik, Melayu menyumbang 51.7 peratus (24,865 kematian), diikuti oleh Bumiputera Lain (10.7 peratus), Cina (26.8 peratus), dan India (8.4 peratus).
Ketua Perangkawan turut mengesahkan bahawa jumlah penduduk Malaysia kini dianggarkan seramai 34.2 juta, meningkat sebanyak 0.9 peratus berbanding 33.9 juta pada suku pertama 2024.
"Walaupun terdapat peningkatan, kadar pertumbuhan ini lebih perlahan berbanding 2.0 peratus pada tahun sebelumnya
"Penduduk terdiri daripada 30.8 juta Warganegara (90.1 peratus) dan 3.4 juta Bukan Warganegara (9.9 peratus). Komposisi penduduk tua (65 tahun ke atas) meningkat daripada 7.6 peratus kepada 7.7 peratus."
Sementara itu, penduduk muda (0-14 tahun) menurun daripada 22.3 peratus kepada 22.2 peratus.
Mengulas mengenai trend global, Mohd Uzir menyatakan bahawa penurunan kadar kelahiran dan kadar kesuburan (Total Fertility Rate atau TFR) kini menjadi isu global yang menekan struktur demografi, pertumbuhan ekonomi dan keseimbangan sosial.
“Banyak negara kini mencatatkan TFR di bawah paras penggantian 2.1 anak bagi setiap wanita berusia 15-49 tahun. Ini memberi kesan kepada populasi menua, penurunan populasi dan tenaga kerja,” jelasnya.
Beberapa negara seperti Korea Selatan, Jepun, Singapura, Thailand, China dan Rusia sedang bergelut dengan cabaran ini dan telah memperkenalkan pelbagai dasar sokongan keluarga, insentif kewangan dan lanjutan cuti bersalin sebagai langkah menangani isu populasi menua.
#kelahiran #kematian #kesuburan #Mohd Uzir Mahidin