NATIONAL

Kadar kematian tibi tunjuk trend penurunan - KKM

Bernama 24/03/2025 | 09:10 MYT
KKM menekankan bahawa tibi adalah penyakit berjangkit yang boleh disembuhkan sepenuhnya dengan rawatan konsisten.
PUTRAJAYA: Kes baharu tuberkulosis atau tibi meningkat 0.1 peratus dengan 26,183 kes dilaporkan pada 2024 berbanding 26,149 kes pada tahun sebelumnya.


Ringkasan AI
  • Kes baharu tuberkulosis meningkat 0.1% pada 2024 dengan 26,183 kes dilaporkan, tetapi kadar kematian menunjukkan penurunan.
  • KKM menekankan bahawa tibi adalah penyakit berjangkit yang boleh disembuhkan sepenuhnya dengan rawatan konsisten.
  • Tema sambutan Hari Tibi Sedunia 2025 di Malaysia ialah "Bersama Hentikan Tibi: Perkasa Komitmen, Dana dan Perkhidmatan" untuk menoktahkan tibi sebagai beban kesihatan awam menjelang 2035.


Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan memaklumkan kadar kematian menunjukkan trend penurunan iaitu 7.6 setiap 100,000 penduduk pada 2024, berbanding 7.9 pada 2023 manakala jumlah kematian berkurangan 1.6 peratus kepada 2,580 kematian pada 2024 berbanding 2,623 kematian pada tahun sebelumnya.

Menurut KKM, penurunan itu mencerminkan impak berterusan intervensi kesihatan awam sungguhpun berdepan cabaran besar dalam usaha penghapusan tibi sepenuhnya.

"Adalah penting untuk ditekankan bahawa penyakit tibi bukan disebabkan oleh santau, buatan orang mahupun penyakit keturunan. Ia adalah penyakit berjangkit yang boleh disembuhkan sepenuhnya dengan rawatan konsisten dan mengikut saranan pengamal perubatan," menurut kenyataan KKM bersempena dengan Hari Tibi Sedunia.

KKM memaklumkan pesakit tibi tidak wajar disisihkan sebaliknya masyarakat harus menunjukkan sokongan dan empati kerana penerimaan komuniti adalah elemen penting dalam kejayaan rawatan dan pemulihan.

KKM komited dalam memperkukuh sistem perkhidmatan kawalan tibi negara melalui pelbagai pendekatan dan antara langkah telah diambil termasuk penggunaan teknologi diagnostik terkini yang lebih cepat, tepat dan mesra pengguna.


Selain itu, pengukuhan sistem pemantauan pesakit bagi memastikan pematuhan rawatan serta peningkatan kapasiti petugas kesihatan dalam pengurusan tibi yang berkesan.

Tema sambutan Hari Tibi Sedunia 2025 di Malaysia ialah "Bersama Hentikan Tibi: Perkasa Komitmen, Dana dan Perkhidmatan" selari dengan tema global "Yes! We Can End TB: Commit, Invest, and Deliver", yang menekankan komitmen padu Kerajaan MADANI dan KKM dalam menoktahkan tibi sebagai satu daripada beban kesihatan awam menjelang 2035.

Hari Tibi Sedunia disambut pada 24 Mac setiap tahun bagi memperingati penemuan bakteria Mycobacterium tuberculosis oleh Dr Robert Koch pada 24 Mac 1882 yang merupakan detik penting dalam sejarah perubatan dunia.

-- BERNAMA



#tuberkulosis #TB #beban kesihatan awam #trend penurunan