Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menawarkan kadar khas kompaun serendah RM20 kepada pesalah trafik yang belum menjelaskan notis kompaun kesalahan tempat letak kenderaan bermeter dan lalu lintas.

Pengarah Jabatan Perancang Korporat DBKL Khairul Azmir Ahmad berkata kadar khas kompaun itu akan ditawarkan bermula 1 Sept hingga 30 Sept ini.

"Kompaun khas RM20 diberikan bagi pengguna motosikal, RM30 bagi kereta, MPV, van, lori kecil, pikap, 4WD dan SUV manakala RM50 bagi kenderaan berat seperti lori besar, bas, kren, traktor dan treler.

"Inisiatif ini adalah peluang bagi pesalah trafik menyelesaikan notis kompaun yang diterima sebelum 1 Sept 2018 bagi mengelakkan kes mereka disenarai hitam oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Namun kadar khas itu tidak termasuk bagi kesalahan yang sudah disenarai hitam (status W) dan kes-kes mahkamah (tindakan undang-undang (U), sebutan mahkamah (M) dan waran tangkap (W), katanya.

Bayaran kadar khas itu boleh dibuat di beberapa lokasi antaranya kaunter bayaran dan kiosk DBKL, pejabat pos, aplikasi mudah alih DBKL Mobis dan portal dalam talian www.myeg.com atau e-bayar.

-- BERNAMA