Skip to main content

Malaysia

Kadar pengangguran kekal 3.0 peratus pada Mei 2026 - DOSM

KUALA LUMPUR, 18 Okt -- Orang ramai serta pelancong dari luar negara berjalan kaki menggunakan lintasan Bukit Bintang yang dikenali sebagai 'Lintasan Shibuya' ketika tinjauan fotoBernama sempena Belanjawan 2025 di Bukit Bintang hari ini.  Dalam pembentangan Belanjawan 2025 Malaysia MADANI yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga selaku Menteri Kewangan I mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM550 juta diperuntukkan sebagai persiapan rapi negara bagi Tahun Melawat Malaysia 202
Menurut DOSM, 79.5 peratus daripada jumlah penganggur merupakan penganggur aktif dengan kumpulan ini meningkat 0.2 peratus kepada 408,000 orang berbanding 407,100 orang pada April 2026. - Gambar hiasan/Bernama
Advertisement

PUTRAJAYA: Kadar pengangguran Malaysia kekal pada 3.0 peratus pada Mei, dengan merekodkan 513,400 jumlah penganggur, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). 

DOSM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pasaran buruh negara menunjukkan peningkatan sederhana seiring dengan pertumbuhan ekonomi stabil, mencatatkan pertumbuhan guna tenaga konsisten serta kadar pengangguran kekal rendah, walaupun berdepan krisis gangguan rantaian bekalan global.

"Tenaga buruh terus menunjukkan momentum peningkatan pada bulan tersebut, naik 0.1 peratus bulan ke bulan kepada 17.34 juta orang berbanding 17.33 juta orang bulan lepas.

"Sehubungan itu, kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 70.9 peratus, sama seperti bulan sebelumnya," menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, DOSM memaklumkan bilangan penduduk bekerja terus meningkat pada Mei 2026 dengan pertambahan marginal 0.1 peratus, merekodkan 16.82 juta orang, manakala bilangan penganggur pula mencatat peningkatan 0.3 peratus mencecah 513,400 orang berbanding 511,800 orang pada April 2026.

"Dari perspektif sektor ekonomi, sektor perkhidmatan terus menjadi penyumbang utama kepada jumlah guna tenaga pada bulan tersebut, dengan aktiviti perdagangan borong dan runcit; aktiviti penginapan dan perkhidmatan makanan dan minuman; serta maklumat dan komunikasi meliputi sumbangan terbesar dalam guna tenaga. 

"Sektor utama lain, termasuk pembuatan, pembinaan, pertanian, serta perlombongan dan pengkuarian, turut mencatatkan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja pada Mei 2026," katanya.

Menurut DOSM, 79.5 peratus daripada jumlah penganggur merupakan penganggur aktif dengan kumpulan ini meningkat 0.2 peratus kepada 408,000 orang berbanding 407,100 orang pada April 2026. 

DOSM juga memaklumkan pasaran buruh Malaysia dijangka terus kekal berdaya tahan dalam tempoh beberapa bulan akan datang, disokong oleh keadaan ekonomi domestik yang menggalakkan, aktiviti pelaburan berterusan serta kemajuan transformasi struktur ekonomi negara. 

"Walaupun ketidaktentuan luaran berpotensi mempengaruhi aktiviti pengambilan pekerja dalam industri tertentu, kedudukan pasaran buruh secara keseluruhannya dijangka terus stabil. 

"Usaha berterusan untuk meningkatkan produktiviti buruh, memperkukuh pengadaptasian tenaga kerja serta mempertingkatkan padanan antara penawaran buruh dengan permintaan industri akan terus menjadi faktor penting dalam mengekalkan peluang pekerjaan berkualiti dan menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement