MALAYSIA
Kadar pengangguran terendah dalam 10 tahun, Malaysia catat 3.0 peratus pada April

Tenaga buruh Malaysia dijangka akan terus berkembang dengan optimis, didorong oleh dasar ekonomi yang kukuh dan permintaan domestik yang stabil. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Kadar pengangguran Malaysia mencatatkan penurunan kepada 3.0 peratus pada April 2025, mencapai kadar terendah dalam tempoh sepuluh tahun, dengan 525,900 penganggur.
Ringkasan AI
- Kadar pengangguran Malaysia menurun kepada 3.0 peratus pada April 2025, iaitu kadar terendah dalam tempoh sepuluh tahun, dengan jumlah penganggur sebanyak 525,900 orang.
- Bilangan tenaga buruh meningkat kepada 17.34 juta orang, kadar penyertaan tenaga buruh naik kepada 70.8 peratus, dan bilangan penduduk bekerja meningkat kepada 16.82 juta orang.
- Kadar pengangguran belia berumur 15 hingga 24 tahun kekal pada 10.3 peratus, manakala kadar bagi belia 15 hingga 30 tahun menurun kepada 6.2 peratus. Penduduk di luar tenaga buruh meningkat kepada 7.17 juta orang, kebanyakannya terdiri daripada suri rumah dan pelajar.
"Kadar penyertaan tenaga buruh juga meningkat sebanyak 0.1 mata peratus kepada 70.8 peratus, mencerminkan lebih ramai rakyat Malaysia yang terlibat dalam pasaran pekerjaan. Bilangan penduduk yang bekerja juga meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 16.82 juta orang, berbanding 16.78 juta orang pada bulan sebelumnya," kata beliau.
Pada masa yang sama, bilangan penganggur menurun sebanyak 0.7 peratus kepada 525,900 orang, berbanding 529,600 orang pada Mac 2025.
Uzir berkata, kadar pengangguran pada April 2025 mencecah kadar terendah dalam tempoh satu dekad iaitu 3.0 peratus, seiring dengan penurunan pengangguran aktif yang menunjukkan trend positif dalam pasaran buruh.
Menurut laporan, 79.6 peratus daripada penganggur adalah penganggur aktif yang sedang mencari pekerjaan. Bilangan penganggur aktif pada April 2025 mencatatkan penurunan sebanyak 0.5 peratus kepada 418,600 orang, berbanding 420,700 orang pada bulan sebelumnya.
"Kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 24 tahun kekal pada 10.3 peratus dengan 298,300 penganggur belia.
"Namun, kadar pengangguran untuk belia berumur 15 hingga 30 tahun menunjukkan penurunan kepada 6.2 peratus, dengan 400,600 orang belia menganggur," tambahnya.
Bilangan penduduk di luar tenaga buruh turut meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 7.17 juta orang berbanding bulan Mac 2025, dengan majoriti penyumbang kepada kategori ini adalah mereka yang terlibat dalam kerja rumah atau tanggungjawab keluarga (43.7 peratus) dan mereka yang sedang bersekolah atau menjalani latihan (41.1 peratus).
Dalam tempoh yang akan datang, tenaga buruh Malaysia dijangka akan terus berkembang dengan optimis, didorong oleh dasar ekonomi yang kukuh dan permintaan domestik yang stabil.
Walaupun terdapat ketegangan geopolitik global, sektor perkhidmatan dan teknologi Malaysia yang terus berkembang, serta pelaburan dalam digitalisasi dan automasi, dijangka akan terus menyokong kestabilan tenaga buruh negara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami