Selepas tertangguh akibat pandemik COVID-19, kerajaan negeri Sarawak akhirnya melaksanakan kadar tambang rata RM1 bagi perkhidmatan bas henti-henti di negeri ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Lee Kim Shin berkata ia akan dilaksanakan di empat bandar utama di Sarawak melibatkan Kuching, Sibu, Miri dan Sarikei bermula 18 Mei ini.

"Operasi perkhidmatan bas ini turut dibenarkan di kawasan yang diisytiharkan zon hijau dan kuning.

"Di Miri, tiga syarikat bas iaitu Miri City Bus Sdn Bhd, Miri Belait Transport Co. Bhd dan Miri Transport Co. Bhd akan memulakan operasi dengan kadar tambang RM1 itu pada 18 Mei ini," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dalam pada itu katanya, syarikat bas yang ingin memulakan operasi perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Ia bagi mengelakkan risiko jangkitan COVID-19 di samping memaklumkan jadual serta laluan kepada orang ramai melalui media massa.

"Kajian yang telah dibuat sebelum ini mendapati perkhidmatan bas henti-henti di negeri ini merekodkan penurunan jumlah penumpang.

"Malah persaingan sengit daripada perkhidmatan awam lain seperti van dan e-hailing antara faktor utama yang menyebabkan jumlah penumpang berkurangan,” tambahnya.


Justeru kementeriannya tampil dengan inisiatif bantuan untuk meningkatkan jumlah pengguna dalam kalangan kumpulan berpendapatan rendah dengan menetapkan kadar rata RM1.

Menurut Kim Shin cadangan itu merupakan manifestasi kerajaan negeri sekali gus merealisasikan objektif utama pelaksanaannya bagi menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan awam seperti bas.

Secara tidak langsung katanya akan memberi peluang kepada syarikat-syarikat bas meningkatkan perkhidmatan dan membantu mengurangkan kesesakan trafik di bandar negeri ini.