[TERKINI] SARA RM100 untuk Warganegara 18 Tahun ke Atas: Tebus Guna MyKad – Baca Panduan Penuh Di Sini
MALAYSIA

Kadar tol di 10 lebuh raya kekal, tiada kenaikan - PM

Hasimi Muhamad 23/07/2025 | 03:40 MYT
Kerajaan menanggung implikasi kewangan melebihi RM500 juta bagi membolehkan pengguna terus menikmati kadar tol sedia ada tanpa sebarang kenaikan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju menangguhkan kenaikan kadar tol yang dijadualkan tahun ini bagi 10 lebuh raya, meskipun ia selaras dengan perjanjian konsesi sedia ada, demi meringankan beban rakyat.


Ringkasan AI
  • Kerajaan tangguh kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya tahun ini untuk meringankan beban rakyat.
  • Kerajaan menanggung implikasi kewangan melebihi RM500 juta supaya kadar tol kekal.
  • Kerajaan terus komited memberi manfaat langsung kepada rakyat, dengan RMK13 turut mengambil kira keutamaan semua negeri.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan menanggung implikasi kewangan melebihi RM500 juta bagi membolehkan pengguna terus menikmati kadar tol sedia ada tanpa sebarang kenaikan.

"Kalau ikut unjuran kadar tol naik pada tahun ini mengikut perjanjian, ini perjanjian lama dan jangan dibebankan kita antara syarikat dengan pentadbiran kerajaan dahulu.

"Tetapi kita setuju supaya kenaikan tidak dilaksanakan kerana kerajaan akan menanggung kos lebih RM500 juta supaya tol tidak dinaik," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam Pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Antara lebuh raya yang terlibat dalam penangguhan kenaikan kadar tol ialah Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB), dan Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX).

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan akan terus menumpukan kepada usaha yang memberi manfaat langsung kepada rakyat di peringkat komuniti.

Katanya, Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) yang bakal dibentangkan pada 31 Julai ini juga mengambil kira keutamaan semua negeri tanpa mengira fahaman politik.




#Anwar Ibrahim #Kadar tol kekal #Pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia #kenaikan