Kadar tol kekal, LLM jamin perkhidmatan lebuh raya berkualiti

Syarikat konsesi akan sentiasa dipantau bagi memastikan operasi dan penyenggaraan lebuh raya dilaksanakan mengikut standard yang ditetapkan. - Gambar hiasan/BERNAMA
PUTRAJAYA: Selaras dengan keputusan kerajaan mengekalkan kadar tol sedia ada untuk 10 lebuh raya pada tahun hadapan, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memberikan jaminan kepentingan pengguna akan terus dilindungi melalui penyediaan perkhidmatan lebuh raya yang selamat, lancar dan berkualiti.
Ketua Pengarahnya Datuk Sazali Harun dalam kenyataan hari ini berkata syarikat konsesi akan sentiasa dipantau bagi memastikan operasi dan penyenggaraan lebuh raya dilaksanakan mengikut standard yang ditetapkan.
"Di samping itu, penekanan terhadap pengurusan aliran trafik bagi mengurangkan kesesakan serta memendekkan masa perjalanan akan terus diperkasakan bagi memastikan lebuh raya kekal relevan dan menyumbang kepada kesejahteraan rakyat," katanya.
Khamis lepas, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan kerajaan akan mengekalkan kadar tol sedia ada pada tahun hadapan, melibatkan 10 lebuh raya utama di seluruh negara sebagai usaha melindungi kebajikan rakyat.
Lebuh raya terlibat ialah Lebuhraya Cheras-Kajang (GRANDSAGA), Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB), Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2).
Turut terlibat ialah Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) serta Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB).
Sazali berkata keputusan itu mencerminkan keutamaan Kerajaan MADANI dalam mendahulukan kepentingan pengguna lebuh raya.
"Keputusan ini adalah selaras dengan pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai lepas dalam Pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia, yang kerajaan telah bersetuju supaya rakyat terus menikmati kadar tol sedia ada tanpa sebarang kenaikan.
"Walaupun kerajaan perlu menanggung implikasi kewangan yang dianggarkan berjumlah RM591.56 juta, langkah ini memberikan manfaat kepada hampir satu juta pengguna lebuh raya setiap hari," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


