MALAYSIA

Kadar zakat fitrah di Kedah ditetapkan RM9, RM15 serta RM23 tahun ini

Bernama 27/01/2026 | 15:00 MYT
Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menetapkan tiga kadar zakat fitrah iaitu RM9, RM15 dan RM23 pada tahun ini. - Foto hiasan/BERNAMA
ALOR SETAR: Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menetapkan tiga kadar zakat fitrah iaitu RM9, RM15 dan RM23 pada tahun ini.


Ringkasan AI
  • Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menetapkan tiga kadar zakat fitrah iaitu RM9, RM15 dan RM23 berdasarkan harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan majoriti umat Islam di negeri ini.
  • Penetapan kadar zakat fitrah ini dibuat selepas mendapat limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah dengan sasaran kutipan sebanyak RM13.5 juta untuk 27,300 asnaf fakir, miskin, mualaf dan fisabilillah.
  • LZNK menyediakan 23 saluran bayaran secara dalam talian termasuk portal dan aplikasi rasmi, e-dompet, dan perbankan Internet bagi memudahkan orang ramai menunaikan zakat fitrah, dengan resit pembayaran diberikan secara digital.


Pengerusi LZNK Datuk Seri Norizan Khazali berkata penetapan kadar itu adalah berdasarkan harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan majoriti umat Islam di negeri ini.

Beliau berkata penetapan itu juga dibuat mengikut kadar timbangan satu gantang Baghdad yang bersamaan 2.6 kilogram (kg) beras.

"Kadar zakat fitrah yang ditetapkan ialah RM9 bagi beras tempatan, RM15 bagi beras import dan seumpamanya serta RM23 bagi beras basmathi dan seumpamanya.

"Penetapan itu dibuat selepas mendapat limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah. Umat Islam digalakkan menunaikan zakat fitrah mengikut jenis beras yang menjadi makanan harian masing-masing," katanya kepada pemberita ketika mengumumkan penetapan kadar Zakat Fitrah Kedah 2026 di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Eksekutif LZNK Datuk Sheikh Zakaria Othman.

Katanya bagi tahun ini, LZNK menyasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM13.5 juta berbanding kutipan tahun lepas sebanyak RM12.9 juta dengan pengagihan dijangka kepada 27,300 asnaf dalam kalangan fakir, miskin, mualaf dan fisabilillah.

"Bagi memudahkan orang ramai, LZNK menyediakan sebanyak 23 saluran bayaran secara dalam talian untuk menunaikan zakat fitrah pada tahun ini seperti portal dan aplikasi rasmi LZNK, e-dompet dan perbankan Internet.

"Seramai 2,788 ejen amil dan 183 agensi dilantik turut menggunakan kaedah digital seperti Kod QR dan sistem MyAmil. Resit pembayaran akan diberikan secara digital manakala kaedah kutipan kupon manual masih disediakan melalui ejen amil terpilih sahaja," katanya.

Sementara itu, Zakaria berkata kenaikan kadar zakat fitrah berbanding tahun lepas didorong oleh faktor peningkatan harga barangan termasuk beras.

"Kami difahamkan, kadar zakat fitrah di kebanyakan negeri lain juga akan bermula antara RM9 ke RM10 kecuali sebuah negeri yang mungkin kekal bermula pada kadar RM7 untuk beras tempatan," katanya.

Dalam pada itu, jumlah kutipan keseluruhan zakat dan lain-lain hasil di Kedah tahun lepas mencecah RM322.86 juta yang menyaksikan peningkatan RM18.05 juta atau 5.92 peratus berbanding 2024 sekali gus melepasi sasaran ditetapkan berjumlah RM318.88 juta.

Seramai 187,160 pembayar zakat direkodkan tahun lalu termasuk 42,174 pembayar baharu, dengan 87.34 peratus kutipan diterima secara tanpa tunai yang mencerminkan keberkesanan inisiatif pendigitalan dilaksanakan LZNK.

Bagi prestasi agihan pula, LZNK mengagihkan sebanyak RM346.14 juta kepada lapan golongan asnaf di seluruh negeri itu manakala jumlah kutipan sedekah yang direkodkan adalah sebanyak RM584,302.66 daripada 8,820 penyumbang.

-- BERNAMA


#Lembaga Zakat Negeri Kedah #kadar zakat #zakat fitrah #Umat Islam