IPOH: Bayaran zakat fitrah di Perak pada tahun ini ditetapkan pada tiga kadar pilihan harga iaitu RM7, RM14 dan RM21, kata Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Shahrul Azam Shaari.

Beliau berkata kadar bayaran tersebut dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak pada 4 hingga 6 Januari lepas.

"Harga minimum yang perlu dibayar oleh setiap individu yang berkewajipan mengeluarkan zakat fitrah adalah sebanyak RM7.

"Bagaimanapun, adalah digalakkan para pembayar zakat fitrah untuk membayar melebihi kadar tersebut mengikut beras yang dimakan atas dasar 'tatawwu'," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Jelasnya, kadar yang ditawarkan adalah RM14 bagi pembayar yang menggunakan beras wangi, beras putih import, beras perang, beras pulut, herba poni dan seumpamanya.

Manakala kadar RM21 adalah bagi pembayar yang menggunakan beras basmathi, beras Jepun, beras merah dan seumpamanya.

Menurut Shahrul Azam, bayaran boleh dibuat melalui beberapa kaedah, antaranya menerusi amil zakat atau secara dalam talian dengan aplikasi tertentu.

"Bayaran melalui amil hendaklah dilaksanakan dengan pematuhan kepada arahan, peraturan dan tatacara kawalan yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Proses bayaran zakat fitrah kepada amil hendaklah mematuhi syarat-syarat berikut; amil dan pembayar sentiasa memakai pelitup muka, sentiasa mengekalkan penjarakan fizikal dan menggunakan cecair
pembasmi kuman.

"Menyediakan wang yang secukupnya bagi melancarkan proses bayaran, tidak bersalaman semasa akad bayaran zakat serta urusan pembayaran hendaklah dilaksanakan dengan segera tanpa dilengahkan dan beredar setelah selesai urusan pembayaran," katanya.

Jelasnya lagi, bayaran melalui amil boleh dibuat menerusi kaunter di masjid atau premis.

"Bayaran boleh dibuat melalui kaunter-kaunter yang dibuka oleh amil fitrah sama ada di masjid, surau, lokasi tumpuan orang ramai (kompleks membeli belah, pasar terbuka, stesen minyak dan premis perniagaan) serta pejabat kerajaan atau swasta terpilih.

"Amil bertemu langsung dengan pembayar. Kaedah ini boleh dilaksanakan oleh amil fitrah lantikan kariah masjid dengan bergerak dari rumah ke rumah bagi memudahkan ahli kariah melaksanakan ibadah zakat terutama warga tua," katanya.

Sementara itu, bayaran secara dalam talian pula boleh dibuat melalui medium bayaran seperti FPX MAIPk dengan melayari ezakat.maiamp.gov.my, aplikasi GoPayz, aplikasi Shopee, Maybank2u, dan aplikasi SnapNPay.

Ujarnya, penyata bayaran zakat fitrah bagi medium bayaran FPX MAIPk (ezakat.maiamp.gov.my) boleh dimuat turun terus daripada sistem FPX MAIPk.

Manakala bagi medium bayaran selain FPX MAIPk, penyata bayaran zakat fitrah boleh diperoleh selepas enam hari transaksi dibuat.

"Pembayar hanya perlu memasukkan nombor kad pengenalan ke dalam sistem online.maiamp.gov.my/zakatfitrah dan seterusnya memuat turun penyata bayaran untuk simpanan atau cetakan," kata Shahrul Azam lagi.

Tiga pilihan kadar bayaran zakat fitrah itu telah ditetapkan Perak sejak tahun 2019.