Kadar zakat fitrah Perak kekal tiga pilihan RM7, RM14, RM21

Abd Razak Mohd Ali
Mac 16, 2023 03:38 MYT
Pihak MAIPk menyediakan beberapa kaedah pembayaran untuk memberi kemudahan kepada umat Islam. - Gambar hiasan
IPOH: Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak menetapkan kadar zakat fitrah bagi tahun 1444H/2023M kekal seperti tahun lalu, dengan tiga pilihan iaitu RM7, RM14 dan RM21.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk), Shahrul Azam Shaari berkata, kadar minima yang perlu dibayar oleh setiap individu yang berkewajipan adalah RM7.
Menurutnya, mereka yang menggunakan beras wangi atau yang seumpamanya digalakkan membayar RM14 dan bagi yang menggunakan beras basmathi atau yang seumpamanya, RM21.
“Galakan ini berdasarkan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 184 yang bermaksud “Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan lebih daripada yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, pihak MAIPk menyediakan beberapa kaedah pembayaran untuk memberi kemudahan kepada umat Islam.
Katanya, kaedah-kaedah itu ialah bayaran melalui amil di masjid, surau atau lokasi tumpuan ramai seperti kompleks membeli belah, pasar terbuka, stesen minyak dan premis perniagaan serta pejabat kerajaan atau swasta terpilih.
Di samping itu, ujarnya, mereka juga boleh membayar kepada amil fitrah lantikan kariah masjid yang bergerak dari rumah ke rumah bagi memudahkan ahli kariah melaksanakan ibadah zakat terutama warga tua.
Tambahnya, umat Islam juga boleh membuat bayaran secara dalam talian (online) melalui pilihan medium bayaran berikut:
i. FPX MAIPk dengan melayari https://ezakat.maiamp.gov.my/
ii. Aplikasi GoPayz
iii. Aplikasi Shopee
iv. Maybank2u
v. Aplikasi SnapNPay
vi. https://senangzakat.my/?id=MAIPK
Shahrul Azam berkata, penyata bayaran zakat fitrah bagi medium bayaran FPX MAIPk boleh dimuat turun terus daripada sistem FPX MAIPk.
“Manakala bagi medium bayaran selain FPX MAIPk pula, penyata bayaran zakat fitrah boleh diperolehi selepas tiga hari transaksi dibuat.
"Pembayar perlu mendaftar terlebih dahulu dan login ke dalam sistem portal penyata zakat MAIPk https://online.maiamp.gov.my/zakatperak/ seterusnya boleh memuat turun penyata bayaran untuk simpanan atau cetakan,” ujarnya.
#zakat fitrah #MAIPk #Shahrul Azam Shaari #pembayaran