Tokoh Wartawan Kebangsaan, Datuk A. Kadir Jasin mempertahankan tindakan yang dibuat oleh Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang mempersoalkan cadangan kenaikan tarif elektrik yang diumumkan oleh kerajaan Isnin lepas.

Kadir berkata apa yang dilakukan Khairy bukan satu kesalahan kerana ia dibuat di atas pentas perhimpunan Agung UMNO dan mewakili suara ahli parti itu.

Katanya menjadi hak Khairy sebagai Ketua Pemuda UMNO untuk menyuarakan pandangan dan kritikan pemuda UMNO terhadap keputusan yang dibuat kerajaan kerana kerana parti dan kerajaan adalah berbeza.

"Yang pertama sekali harus diingat ialah ini perhimpunan agung UMNO bukan perhimpunan agung kerajaan, jadi kita semua tahu kerajaan tidak ada perhimpunan agung, yang ada cuma perhimpunan agung parti.

"Perlu ada dikotomi antara kerajaan dan parti. Jadi tidak semestinya keputusan kerajaan itu menjadi keputusan parti atau dipersetujui parti. Parti boleh suarakan pandangan ahli yang juga rakyat kepada kerajaan.

"Yang sepatutnya ditanya apakah keputusan menaikan tarif elektrik dibincang dalam kabinet? Kalau sudah dibincang apakah Khairy bantah dalam mesyuarat kabinet?" katanya kepada Astro AWANI.

Kadir berkata sebagai ketua pemuda UMNO, Khairy sudah melakukan apa yang sepatutnya dilakukan kerana tugas parti dan tugas kerajaan berbeza.

Beliau juga meminta semua pihak agar dapat membezakan antara tugas yang dilakukan oleh sebuah parti dan sebuah kerajaan.

Sebelum ini, Kadir dalam beberapa siri tulisannya telah menyatakan padangan beliau supaya perlu ada garis pemisah antara parti dan kerajaan.

Pada Rabu, semasa menyampaikan ucapan dasar di perhimpunan Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy menegaskan peningkatan tarif elektrik itu bukan sekadar untuk menampung peningkatan harga bahan api tetapi juga "menambahkan laba keuntungan TNB".

"Sebagai GLC, TNB perlu prihatin kepada rakyat dan tidak boleh bermotifkan keuntungan semata-mata," katanya.

Kritikan Khairy itu dipertikaikan blogger Datuk Ahirudin Attan yang menganggap sebagai anggota kabinet pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Khairy tidak wajar berbuat demikian.

"KJ (Khairy Jamaluddin) tidak boleh menganggap beliau bukan sebahagian daripada proses membuat keputusan itu, bukan sebahagian daripada tanggungjawab bersama itu," kata Ahirudin di laman blognya Rocky's Bru.

Pada Isnin, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili mengumumkan kenaikan tarif elektrik sebanyak 14.89 peratus atau 4.99 sen sekilowat sejam (KWJ) kepada 38.53 sen/kwj, berkuat kuasa 1 Jan 2014.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bertanya apakah ada kajian terperinci dibuat sebelum TNB mengumumkan kenaikan tarif elektrik yang dilihat akan menambah beban kepada rakyat.

Katanya, kenaikan tarif elektrik itu tidak hanya melibatkan bil elektrik di rumah sahaja sebaliknya akan memberikan kesan ke atas harga barang serta tambang pengangkutan awam.