Kaedah penanaman padi di Sekinchan diperluas ke kawasan lain - Amirudin

Bernama
Januari 18, 2024 06:38 MYT
Amirudin (kanan) menyampaikan sijil AI Nusantara kepada pelajar Sekolah Digital Selangor (SDS), Noralia Athirah Mohamad Fadli pada Majlis SDS AI Lab Programme AI Nusantara Completion of Training hari ini. - Foto Bernama
SHAH ALAM: Kaedah penanaman dan penjagaan padi di Sekinchan, Sabak Bernam akan diperluas ke kawasan penanaman padi lain di Selangor selaras dengan inisiatif 'Gelombang Padi' yang diumumkan kerajaan Persekutuan, dua hari lepas.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata hal ini berikutan hasil padi di kawasan berkenaan lebih tinggi dan berkualiti berbanding kawasan penanaman lain di Selangor.
Amirudin berkata dua Exco kerajaan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri di kawasan penanaman padi iaitu Datuk Ng Suee Lim dan Datuk Rizam Ismail telah ditugaskan meneliti kaedah mengembangkan formula penanaman di Sekinchan ke beberapa lokaliti di Kuala Selangor dan Sabak Bernam.
"Apa yang kita lihat, pengeluaran padi Sekinchan agak tinggi dan jumlahnya tidak sama dengan pengeluaran padi tempat lain termasuk antaranya di Tanjung Karang dan Sungai Panjang," katanya selepas melancarkan Majlis Graduasi Sekolah Digital Selangor di sini hari ini.
Beliau berkata kaedah penanaman format lama iaitu tanam, tinggal dan tuai (3T) tidak boleh dilaksanakan dalam memastikan hasil padi mencapai tahap optimum.
"Bukan sekadar jentera dan teknologi semata-mata, tetapi juga bagaimana teknik dan kaedah penjagaan sepanjang musim padi... tiada lagi 3T (tanam, tinggal dan tuai). Ini yang akan kita kembangkan," katanya menambah pelbagai teknologi dan teknik terkini akan diterapkan bagi memastikan hasil yang terbaik.
Amirudin sebelum ini dilaporkan berkata hasil padi di Sekinchan merupakan yang tertinggi dalam negara dengan setiap hektar mampu menghasilkan sebanyak 12 tan padi berbanding negeri lain iaitu sekitar empat tan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu pada Selasa mengumumkan bahawa inisiatif "Gelombang Padi" digerakkan tahun ini bagi mengangkat industri padi dan beras negara ke tahap lebih cekap dan berdaya tahan.
Mohamad dilaporkan berkata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menggariskan 12 program untuk dilaksanakan menerusi inisiatif itu yang merupakan pencetus perubahan bagi transformasi industri padi dan beras negara antaranya memperkenalkan dasar baharu Insentif Benih Padi Sah (IBPS).
-- BERNAMA
#Amirudin Shari #kaedah penanaman padi #Sekinchan #Gelombang Padi #negeri Selangor