KUALA LUMPUR: Peningkatan suhu menimbulkan risiko yang semakin ketara kepada kesihatan awam dan produktiviti di tempat kerja, namun langkah-langkah perlindungan haba yang praktikal dapat membantu melindungi pekerja sambil meningkatkan prestasi kerja, menurut pakar.
Pengarah Pusat Prestasi dan Daya Tahan Haba di Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Jason Kai Wei Lee berkata, rakyat di Asia Tenggara perlu mengubah tanggapan bahawa mereka sudah terbiasa dengan cuaca panas, kerana persepsi itu boleh menjejaskan usaha untuk menangani kesan pendedahan haba yang semakin serius.
“Perkara pertama yang perlu kita didik dan sebarkan ialah haba telah menjejaskan kita.
"Apabila suhu meningkat, keadaan itu akan memberikan kesan yang lebih teruk kepada kita. Jadi, kita perlu mengambil tindakan,” katanya dalam temu bual dengan Bernama di konti mini, bersempena dengan Persidangan Global Tipping Points 2026, di sini, pada Selasa.
Kai berkata, haba menjejaskan senaman, kualiti tidur dan tabiat pemakanan secara langsung, sekali gus berpotensi menjejaskan kesihatan keseluruhan dengan keletihan dan kelesuan menjadi antara tanda amaran biasa akibat pendedahan haba.
Beliau berkata, pekerja di luar terutamanya pekerja gig yang dibayar mengikut jumlah penghantaran, menghadapi risiko kesihatan yang lebih tinggi, manakala pekerja yang bergaji tetap mungkin mengalami penurunan prestasi dalam keadaan yang tidak selesa, sekali gus menjejaskan produktiviti.
Beliau berkata, ketidakselesaan terma juga boleh mendorong seseorang mengambil risiko yang lebih tinggi, berpotensi menyumbang kepada kemalangan di tempat kerja, kecederaan dan gangguan operasi, menjadikan pelaburan dalam perlindungan haba bermanfaat kepada pekerja dan majikan.
“Perkara yang baik ialah sekiranya pelaburan dibuat untuk mengekang tingkah laku itu, semua pihak akan mendapat manfaat,” katanya.
Kai berkata, langkah-langkah praktikal termasuk kitaran kerja dan rehat yang bersesuaian, penghidratan yang mencukupi, penyediaan tempat teduh, peralatan penyejukan dan penyesuaian diri terhadap haba dapat mengurangkan risiko berkaitan haba, di samping meningkatkan prestasi di tempat kerja dan pengekalan pekerja.
Peranti boleh pakai yang menggunakan teknologi Internet benda (IoT), katanya, dapat membantu mengenal pasti individu yang berisiko tinggi, sambil menekankan bahawa kemampuan adaptasi manusia mempunyai had dan mesti disertai dengan usaha menangani punca utama yang menyebabkan perubahan iklim, terutamanya penggunaan bahan api fosil.
Kai berkata, pelaburan dalam perlindungan haba tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai langkah-langkah pencegahan terhadap penyakit berkaitan haba, tetapi juga sebagai kaedah untuk meningkatkan produktiviti, mengurangkan kemalangan di tempat kerja dan mengekalkan tenaga kerja.
Beliau berkata, cuaca panas yang melampau juga dapat memburukkan lagi cabaran sedia ada, termasuk isu kesihatan mental dan menegaskan bahawa usaha menangani kesannya mampu meningkatkan kesejahteraan keseluruhan masyarakat dengan berkesan.
Oleh itu, beliau menggesa kerajaan, majikan, penyelidik dan komuniti untuk bekerjasama bagi membangunkan penyelesaian praktikal yang sesuai dengan keperluan golongan yang terjejas, sambil menambah bahawa penyertaan komuniti dan integrasi dalam dasar awam adalah penting untuk membina daya tahan haba yang berkesan dan mampan.
-- BERNAMA