Kaji kediaman untuk golongan kurang upaya intelek - Aktivis sosial

Bernama
Januari 21, 2020 09:43 MYT
Golongan yang menghidap Autisme, sindrom Down dan pengurangan mental perlu mendapat perhatian khusus. - Gambar hiasan
Kerajaan Persekutuan dan Negeri disaran menyediakan rumah kediaman bagi orang kurang upaya intelek yang yatim piatu dan memerlukan perhatian khusus, kata aktivis sosial Datuk Seri Ang Lai Soon pada Selasa.
Beliau berkata peruntukan rumah kediaman itu diperlukan berikutan peningkatan populasi negara dan semakin ramai orang yang menderita gangguan ini antara lain termasuk Autisme, Sindrom Down dan kemerosotan mental.
"Ramai dalam kalangan mereka (kurang upaya intelek) tidak dijaga dengan baik terutamanya apabila mereka datangnya daripada golongan berpendapatan rendah. Kita mesti membantu mereka," katanya kepada Bernama pada Selasa.
Ang, yang juga presiden Rumah Amal Cheshire Sarawak berkata kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Negeri perlu memastikan bahawa hak mereka yang kurang upaya dalam semua segi terus dilindungi.
"Ia mesti diperkemas dan dimasukkan dalam dasar, undang-undang dan rancangan dan projek kerajaan yang berkaitan, supaya orang kurang upaya ini tidak ketinggalan atau terpinggir dalam masyarakat kita," katanya.
Ang berkata dasar dan amalan sedemikian juga selaras dengan Pelan Induk ASEAN 2025 dalam mengarusperdana hak orang kurang upaya dalam wilayah ASEAN yang diluluskan oleh Menteri-menteri Luar ASEAN pada tahun 2018, di mana Malaysia juga terlibat.
" Negara ini mempunyai dasar, undang-undang dan pelan tindakan nasional mengenai hak orang kurang upaya sejak 2007," katanya.
Sejak Rumah Cheshire Sarawak ditubuhkan pada tahun 1960-an, beliau berkata pemahaman masyarakat terhadap keperluan orang kurang upaya telah berkembang tetapi usaha untuk meningkatkan kesedaran orang ramai harus diteruskan.
-- BERNAMA
#Autisme #down syndrome #golongan kurang upaya intelek #kediaman khas #OKU #pengurangan mental #rumah amal cheshire