[TERKINI] Polis Kenal Pasti Peserta Program Motivasi Rumah Tangga eHati – Amaran Tangkapan Jika Enggan Bekerjasama – Ikuti Perkembangan Di Sini
NATIONAL

Kaji selidik jumlah pengguna X dijangka siap suku ketiga tahun ini

Bernama 25/03/2025 | 09:11 MYT
Teo Nie Ching berkata pengendali X sebelum ini menyatakan mereka tidak memenuhi keperluan untuk memohon Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Penyedia (ASP (C)) untuk beroperasi di Malaysia. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kaji selidik dijalankan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mengesahkan jumlah pengguna platform X (sebelum ini Twitter) di negara ini tidak mencapai lapan juta orang, dijangka siap pada suku ketiga tahun ini.


Ringkasan AI
  • Kaji Selidik Pengguna X: MCMC sedang menjalankan kaji selidik untuk mengesahkan jumlah pengguna platform X di Malaysia, yang dijangka siap pada suku ketiga tahun ini. Ini untuk menentukan sama ada X perlu memohon Lesen Kelas ASP (C).
  • Sesi Libat Urus: MCMC sedang melaksanakan sesi libat urus dengan penyedia platform X, Meta, dan Google yang belum diberikan Lesen ASP (C). Tiada tempoh akhir ditetapkan untuk memohon lesen, tetapi tindakan boleh diambil jika mereka gagal mematuhi syarat.
  • Tindakan Terhadap Kandungan Tidak Sesuai: Kerajaan dan MCMC mengambil tindakan tegas terhadap kandungan lucah, penipuan, dan perjudian dalam talian di platform seperti Facebook. Mereka juga meminta Meta mengetatkan prosedur pengiklanan di Malaysia seperti di Singapura.


Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata pengendali X sebelum ini menyatakan mereka tidak memenuhi keperluan untuk memohon Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Penyedia (ASP (C)) untuk beroperasi di Malaysia kerana pengguna platform itu di negara ini tidak mencapai nilai ambang lapan juta orang.

"Oleh sebab itu, MCMC sedang menjalankan kaji selidik untuk memastikan bahawa ikut data kami, dalam pandangan kami, sama ada X mempunyai pengguna lebih daripada lapan juta," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Teo berkata MCMC juga sedang melaksanakan sesi libat urus dengan penyedia platform itu dan dua lagi syarikat iaitu Meta yang mengendalikan Facebook, Instagram dan WhatsApp serta Google yang masih belum diberikan Lesen ASP (C).

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Robert Lau Hui Yew sama ada Kementerian Komunikasi menetapkan tempoh akhir untuk syarikat yang layak memohon lesen ASP (C) dan tindakan diambil sekiranya mereka gagal memohon atau mematuhi syarat lesen.

Teo berkata tiada tempoh akhir bagi penyedia platform media sosial untuk mendapatkan lesen dan beberapa tindakan boleh diambil oleh MCMC sekiranya mereka masih tidak membuat permohonan.

"Sebagai contoh, di bawah Seksyen 126, selepas pindaan dan juga penguatkuasaan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) pada 11 Feb lepas, sekiranya penyedia perkhidmatan ini disabitkan kesalahan, mereka boleh kena denda tidak melebihi RM1 juta atau tempoh penjara tidak melebihi 10 tahun serta jumlah denda harian sebanyak RM100,000 atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu berterusan selepas pensabitan.

"Selain itu, kami juga boleh ambil tindakan di bawah Seksyen 243 iaitu kita boleh buat tindakan mengenakan kompaun yang jumlahnya tidak melebihi 50 peratus daripada amaun denda maksimum," katanya.

Menjawab soalan tambahan Senator Tiew Way Keng mengenai langkah diambil kementerian terhadap kes penipuan dan pelbagai isu di platform Meta dan Google, Teo berkata sebanyak 46,929 kandungan telah diturunkan daripada Facebook setakat 15 Mac lepas, antaranya membabitkan penipuan dan perjudian dalam talian.

"Kebebasan bersuara memang akan dipertahankan kerajaan dan kementerian, tetapi masalah yang kami hadapi adalah terlalu banyak kandungan berunsur lucah, penipuan dan perjudian dalam talian yang wujud dalam platform seperti Facebook.

"Oleh sebab itu, kita perlu ambil tindakan lebih tegas sekiranya Meta masih engan memberi kerjasama yang lebih baik," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan dan MCMC akan meminta Meta untuk mengetatkan prosedur pengiklanan di negara ini seperti telah dilaksanakan di Singapura.

"Seseorang yang hendak buat iklan atau meningkatkan capaian kandungan di Singapura, pengiklan itu perlu mengesahkan identiti mereka. Persoalannya, mengapa mereka hanya menawarkan saringan ketat ini kepada Singapura dan bukan seluruh dunia.

"Kalau mereka boleh ketatkan prosedur saringan untuk iklan di Singapura, kenapa tidak boleh buat di Malaysia, Thailand dan negara lain? Ini adalah sesuatu perkara yang bagus," katanya.

-- BERNAMA




#kementerian komunikasi #platform X #MCMC #Teo Nie Ching