Kajian Ipsos: Rakyat Malaysia mula terima pelarian, tapi jumlah perlu dikurangkan

Astro Awani
Julai 10, 2022 06:25 MYT
Berdasarkan kajian sama, rakyat di negara ini juga dilihat lebih terbuka menerima pelarian dari Syria iaitu berbanding Ukraine, Afghanistan dan Myanmar - Gambar hiasan/REUTERS
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia mula terbuka untuk menerima pelarian berikutan pandemik COVID-19 yang kini menunjukkan perkembangan positif.
Kajian terbaharu oleh firma penyelidikan pasaran, Ipsos menunjukkan sentimen rakyat negara ini agar sempadan negara ditutup sepenuhnya kepada pelarian merekodkan penurunan kepada 64 peratus berbanding 82 peratus pada 2020 dan 2021.
Bagaimanapun, Malaysia masih berada di kedudukan kedua selepas Turkiye apabila 56 peratus responden berpandangan kemasukan pelarian ke dalam negara perlu dikurangkan.
Sementara itu, 38 peratus menyatakan 'tidak tahu' atau kerajaan perlu menerima kemasukan pelarian dengan jumlah yang sama seperti sebelum ini, dan enam peratus lagi rakyat Malaysia menyokong pertambahan kemasukan pelarian.
Menurut Pengarah Bersekutu dan Perhubungan Awam Ipsos, Lars Erik Lie, orang ramai kurang cenderung untuk menutup sempadan negara kepada pelarian selepas pergerakan global meningkat, berbanding ketika kemuncak pandemik COVID-19 dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
"Itu tidak bermakna menerima pelarian telah menjadi dasar popular di peringkat global, (kerana) hanya sedikit yang menyokong peningkatan dalam pengambilan pelarian.
"Di Malaysia, majoriti berpendapat negara sepatutnya menerima kurang pelarian berbanding jumlah yang diterima sekarang," katanya dalam hasil tinjauan bertajuk Refugees In A Reopened World, yang dikeluarkan pada 8 Julai lalu.
Tinjauan melibatkan 28 negara itu dijalankan secara dalam talian membabitkan 20,505 responden antara 2 April hingga 6 Mei lalu.
Berdasarkan kajian sama, rakyat di negara ini juga dilihat lebih terbuka menerima pelarian dari Syria iaitu sebanyak 24 peratus berbanding Ukraine dan Afghanistan (18 peratus); serta Myanmar (13 peratus).
Begitupun, purata di peringkat global menunjukkan 54 peratus responden lebih menerima pelarian Ukraine berbanding Syria, Afghanistan, serta Myanmar.
Selain itu, purata global turut menunjukkan penurunan bahawa sempadan negara perlu ditutup kepada pelarian, iaitu 36 peratus berbanding 50 peratus dan 49 peratus, masing-masing pada 2021 dan 2020.
#Kajian Ipsos #Penerima Malaysia terhadap pelarian #pelarian Rohingya #berita hari ini