KUALA LUMPUR: Kajian kebolehlaksanaan cadangan penubuhan Hospital Majlis Amanah Rakyat (MARA) dijangka selesai dalam tempoh tiga bulan sebelum kerja prapelaksanaan, termasuk mendapatkan kelulusan berkaitan, boleh dimulakan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata MARA telah menubuhkan jawatankuasa khas yang dianggotai pakar dan profesional, termasuk alumni serta tenaga pakar dalaman, bagi meneliti kebolehlaksanaan dan model pelaksanaan hospital berkenaan.
Beliau berkata kajian itu meliputi aspek keperluan dan permintaan, lokasi, kapasiti dan skop perkhidmatan, tenaga profesional, kos serta pembiayaan, selain keperluan perundangan dan kawal selia serta keselarasan dengan mandat MARA.
“Penubuhan sebuah hospital merupakan cadangan yang kompleks dan memerlukan kajian sangat teliti. Perkara berkaitan lokasi, kapasiti katil, bidang kepakaran, anggaran kos, sumber pembiayaan dan tarikh operasi masih diperhalusi dan belum diputuskan pada masa ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai justifikasi strategik penubuhan Hospital MARA yang pertama serta status kajian dan perancangannya, termasuk lokasi, kapasiti katil, bidang kepakaran, anggaran kos pembangunan, sumber pembiayaan dan jangkaan tarikh operasi.
Rubiah berkata idea penubuhan hospital itu tercetus daripada pengurusan MARA dengan sokongan alumni graduannya sempena ulang tahun ke-60 penubuhan agensi berkenaan, mengambil kira ekosistem pendidikan dalam bidang kesihatan dan perubatan yang telah lama dibangunkan.
Beliau berkata antara hala tuju sedang dipertimbangkan adalah membangunkan Hospital MARA sebagai hab kesihatan bersepadu yang menggabungkan perkhidmatan rawatan, latihan klinikal, pembangunan kepakaran, penyelidikan gunaan serta keusahawanan kesihatan Bumiputera.
Katanya hospital itu juga berpotensi menjadi pemangkin kepada rantaian nilai kesihatan Bumiputera, termasuk membuka peluang latihan dan kerjaya, penyelidikan, inovasi serta pembangunan vendor dalam bidang farmasi, teknologi perubatan, penyelenggaraan peralatan, pengurusan fasiliti dan logistik.
Beliau berkata sekiranya cadangan itu dilaksanakan, petunjuk prestasinya bukan sahaja perlu mengambil kira jumlah pesakit dan prestasi kewangan, malah turut merangkumi penempatan graduan, pembangunan kepakaran, penyertaan vendor Bumiputera, inovasi dan manfaat kepada komuniti.
Rubiah berkata kajian berkenaan juga akan mengambil kira tiga matlamat utama MARA, iaitu penyertaan, pemilikan dan penguasaan Bumiputera dalam bidang sosioekonomi, sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
-- BERNAMA