KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menerbitkan kajian separuh penggal Belanjawan 2024 pada tahun depan, selaras dengan ketetapan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) 2023 yang diluluskan di Dewan Rakyat baru-baru ini, kata Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim.

Bercakap dalam program khas Belanjawan 2024 Bernama TV semalam, beliau berkata akta baharu itu menetapkan bahawa kerajaan perlu membentangkan prestasi belanjawan, laporan perbelanjaan kerajaan selain perbelanjaan cukai di Dewan Rakyat.

Jelas beliau, ini bermakna pelaksanaan Belanjawan 2024 dipantau di peringkat dalaman oleh jawatankuasa-jawatankuasa dalam Kementerian Kewangan (MoF) dan prestasinya dilaporkan kepada pihak awam serta Parlimen.

Sim juga menyifatkan Belanjawan 2024 sebagai membuktikan komitmen kerajaan dalam usaha melaksanakan perbelanjaan secara cekap dengan lebih banyak wang disalurkan untuk pembangunan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan kumpulan rentan.

"Pada masa sama, kita juga mahu membelanjakan wang ini secara berdisiplin...sebagai contoh subsidi bersasar iaitu wang yang sepatutnya disalurkan kepada PKS dan kumpulan rentan, akan diserahkan kepada mereka," katanya.

Beliau mengingatkan bahawa Belanjawan 2024 itu perlu diteliti dalam konteks dengan dokumen serta dasar lain yang telah diumumkan sebelum ini untuk lebih memahami kekuatan strategi kerajaan dari segi strategi fiskal.

Ini termasuk rangka kerja Ekonomi MADANI, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kebangsaan (NETR); Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12).

Selain itu, Sim menegaskan bahawa kenaikan cukai perkhidmatan daripada enam peratus kepada lapan peratus yang diumumkan dalam Belanjawan 2024, akan memberi impak terhad dari segi harga barang kerana melibatkan kategori kecil dalam sektor terbabit.

"Apa yang kita ingin lakukan adalah memperluas asas cukai dan pada masa sama tidak meningkatkan bebanan kepada rakyat," katanya.

Atas alasan itu, langkah untuk memperkenalkan semula cukai berasaskan penggunaan lebih meluas seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST), bukanlah keutamaan pada masa ini kerana boleh meningkatkan lagi harga barangan.

"Masanya masih belum sesuai kerana kita baru keluar daripada pandemik dan terpaksa berdepan dengan pertumbuhan ekonomi global yang lebih perlahan," kata beliau.

-- BERNAMA