KUANTAN: Kakanda Sultan Pahang, Tengku Puteri Seri Kemala Tengku Datuk Seri Aishah Almarhum Sultan Ahmad Shah mangkat pada 9.15 malam tadi di sebuah hospital di Kuala Lumpur.
Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya berkata, jenazah Almarhumah akan dibawa ke Makam Diraja Pahang, Pekan, hari ini untuk dimakamkan dengan penuh penghormatan dan istiadat.
Beliau berkata, kemangkatan Almarhumah merupakan satu kehilangan besar kepada Kerabat Diraja Pahang, khususnya kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Almarhumah, mengampuni segala dosa dan kesalahan, menerima segala amal ibadah serta kebajikan yang telah dilakukan sepanjang hayat, serta menempatkan roh Almarhumah dalam kalangan para solihin serta di syurga-Nya.
“Sama-sama kita doakan roh Almarhumah akan bersama orang-orang yang solehah,” katanya menerusi kenyataan media malam tadi.
-- BERNAMA