SANDAKAN:Celcom Axiata Bhd mengesahkan seorang pekerja di kedainya, bluecube di sini, positif COVID-19.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu memaklumkan pekerja berkenaan kini menjalani kuarantin dan menunggu keputusan ujian kedua setelah menunjukkan gejala ringan.

"Sebagai langkah segera dan pencegahan untuk memastikan kesejahteraan pelanggan bluecube Sandakan, kami telah menutup kedai tersebut dan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk mengesan kontak secara terperinci dan kuarantin pekerja yang berkemungkinan kontak rapat pekerja tersebut, termasuk semua pekerja dan juruteknik di bluecube Sandakan.

"Sanitasi menyeluruh mengikut garis panduan kesihatan dan keselamatan juga dilakukan di premis berkenaan," menurut kenyataan itu.

Apabila mendapat pengesahan, semua pekerja bluecube Sandakan serta ahli keluarga mereka juga menjalani ujian dan kini menjalani kuarantin di rumah.

Sementara itu, pelanggan di sekitar Sandakan yang memerlukan produk dan perkhidmatan Celcom boleh mengunjungi rakan kongsi sah Celcom di daerah itu atau menghubungi platform digital Celcom e-store, Celcom Life App dan Perkhidmatan Pelanggan Online Celcom.

"Keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan pekerja, pelanggan dan masyarakat sekitar tetap menjadi keutamaan kami.

"Sejak 17 Mac, kami telah mematuhi dan mengamalkan segala langkah-langkah kesihatan dan keselamatan yang ketat, termasuk prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh kerajaan di semua peringkat.

"Bagi memastikan pelanggan kekal terhubung tanpa gangguan perkhidmatan rangkaian pada masa-masa yang mencabar ini, barisan hadapan kami seperti pasukan rangkaian dan bluecube akan terus memberi khidmat kepada pelanggan berdasarkan jadual kerja bergilir," menurut Celcom dalam kenyataan itu.

-- BERNAMA