[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
MALAYSIA

Kakitangan FAMA didenda RM10,000 buat hantaran jelik

Bernama 11/06/2025 | 04:10 MYT
Adi Ariff didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di Melaka hari ini selepas mengaku bersalah membuat hantaran jelik menerusi laman media sosial X dua tahun lepas. --fotoBERNAMA
MELAKA: Seorang kakitangan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah membuat hantaran jelik menerusi laman media sosial X dua tahun lepas.
Hakim Haderiah Siri menjatuhkan hukuman itu terhadap Adi Ariff Ahmad, 51, selaku Orang Kena Saman (OKS) dan memerintahkannya dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.
Lelaki itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu hantaran yang jelik sifatnya menerusi akaun X 'Senatorrr Antonio Samad' pada 11.33 pagi 11 Okt 2023.
Dia dituduh membuat hantaran berkaitan FAMA negeri itu dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain dan hantaran itu dilihat pada 5 petang 11 Okt 2023 di alamat JB 3831, Jalan Kelubi Damai 1, Taman Kelubi Damai, Jasin.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Nazrul Nizam Mohd Zameri memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap Adi Ariff.
OKS yang tidak diwakili peguam merayu hukuman minimum kerana dia menanggung empat anak yang masih bersekolah selain menjaga ibunya yang kurang sihat.
-- BERNAMA
#FAMA #komunikasi jelik #media sosial #Mahkamah Sesyen