Kakitangan Pejabat Kesihatan nafi terima suapan

Shuhada Abdul Kadir
September 13, 2021 04:30 MYT
Tertuduh (tengah) mengaku tidak bersalah sejurus sembilan pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa dihadapan Hakim Elesabet Paya Wan. - Astro AWANI
AYER KEROH: Seorang Penolong Pegawai Kesihatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan menerima suapan bagi pembelian peralatan tandas berjumlah lebih RM31,000, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Ab Hanif Ab hamid, 40 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus sembilan pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa dihadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jasin didakwa memperoleh suapan melalui kerja-kerja pembekalan dan perkhidmatan yang berjumlah RM31,099.50 menerusi syarikat milik adiknya.
Tertuduh yang mempunyai kuasa bagi keperluan Unit Bekalan Air dan Kebersihan Alam Sekeliling (BAKAS) terlibat membuat permohonan pembekalan kepada perniagaan Thronez Enterprise milik adiknya yang mana dia mempunyai kepentingan di dalam syarikat tersebut.
Kesalahan itu dilakukan antara 4 Julai 2018 hingga 28 November 2018 di Pejabat Kesihatan Daerah Jasin, Melaka.
Justeru, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Melaka, Nur Syakila Yaacob mencadangkan jaminan RM5,000 bagi kesemua pertuduhan.
Hakim Elesabet pada penghakimannya kemudian membenarkan jumlah jaminan berkenaan dan mengarahkan tertuduh melaporkan diri dua bulan sekali di pejabat SPRM Melaka di Alai.
Tertuduh diwakili peguam Wan Shahrizal Wan Ladin.
#kes mahkamah #pegawai kesihatan #suapan #kerja pembekalan