Sebuah kedai peralatan sukan di kompleks beli belah Sunway Pyramid ditutup pada Sabtu selepas seorang kakitangannya yang mempunyai rekod perjalanan ke tempat lain disahkan positif COVID-19.

Pengurusan pusat beli belah itu dalam satu kenyataan berkata, individu yang terbabit sudah dikuarantin selari dengan garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

"KKM juga telah mengenal pasti beberapa individu lain yang mempunyai kontak rapat dengan kakitangan berkenaan dan sudah menjalankan proses saringan serta kuarantin.

"Pihak pengurusan pusat beli belah juga telah mengambil langkah proaktif termasuk menjalankan proses nyah kuman dan pembersihan di premis yang terlibat," katanya dalam kenyataan berkenaan.

Dalam pada itu, pihaknya turut meminta orang ramai supaya tidak panik dengan insiden berkenaan dan mengamalkan penjagaan kebersihan diri yang baik.