Kalau lauk tak cukup, saya minta maaf - Mat Sabu tak sangka ramai hadir buka puasa

Dewi Nur Harasha Alias
Mei 28, 2018 00:00 MYT
Mohamad Sabu beramah mesra dengan para hadirin pada Majlis Berbuka Puasa di kediaman peribadinya di Kampung Guar Petai, Tasek Gelugor, 27 Mei, 2018. --fotoBERNAMA
Lebih 1,000 penduduk kampung hadir memeriahkan jamuan berbuka puasa bersama Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu di Kampung Guar Petai di sini pada Ahad.
Mohamad yang lebih mesra disapa Mat Sabu berkata, beliau amat terharu dan tidak menyangka jamuan berbuka puasa kali ini cukup meriah berbanding sebelum ini.
Menteri Pertahanan itu juga memaklumkan, jamuan itu bukan merupakan anjuran kementerian, sebaliknya dianjurkan beliau sendiri bagi meraikan saudara mara dan penduduk kampung sempena Ramadan ini.
"Saya tak menyangka. Saya hanya nak buat kenduri kecil untuk rakan dan kawan. Kawan-kawan letak di Facebook (pengumuman), maka kena buat 'contingency', menambah lauk.
"Kalau tak cukup, saya mohon maaf. Tiap-tiap tahun saya buat (jamuan) kecil. Jamuan hari ini bukan anjuran kementerian, tetapi jamuan Abang Mat sebagai orang kampung ini," katanya.
Beliau turut melahirkan rasa terima kasih dan terharu dengan kehadiran rakyat yang tidak putus-putus menyampaikan ucapan tahniah atas pelantikannya sebagai Menteri Pertahanan.
Mat Sabu berkata demikian kepada media pada majlis berbuka puasa di kediamannya di Kampung Guar Petai, Tasek Gelugor, pada Ahad.
#buka puasa #Mat Sabu #Mohamad Sabu #pelan kecemasan