Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan tidak akan berkompromi terhadap penyelewengan dan penyalahgunaan dana negara walaupun menerima kecaman.
- Anwar menyatakan tindakan tegas kerajaan perlu diteruskan bagi memastikan pentadbiran negara bebas daripada masalah penyelewengan dan salah guna kuasa.
- Beliau menekankan keperluan kepimpinan berprinsip serta memastikan kebajikan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, terus diberi perhatian.
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak akan berkompromi terhadap penyelewengan dan penyalahgunaan dana negara meskipun berdepan kritikan serta kecaman.
Malah, beliau secara terbuka menyatakan bahawa mereka yang mahu beliau berdiam diri terhadap perbuatan berkenaan perlu mencari Perdana Menteri lain.
Anwar berkata, tindakan kerajaan menangani isu penyelewengan sebelum ini tidak disenangi semua pihak, malah mengundang pelbagai reaksi termasuk kemarahan dan kecaman.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak sanggup membiarkan perbuatan itu berterusan ketika masih ramai rakyat terpaksa bekerja keras untuk memperoleh pendapatan harian.
“Ada yang setuju, banyak yang marah. Saya dicerca, dimaki kerana mengambil tindakan. Tapi takkan nak biar.
"Saudara, nak dapatkan RM100 sehari, seksa. Kena kerja, tinggal keluarga. Kemudian orang senang-senang ambil bilion, nak suruh saya tutup? No.
"Kalau orang nak suruh saya diam, cari Perdana Menteri lain. Saya tidak sanggup dan biar penipuan ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada Pemandu Teksi, Kereta Sewa dan Bas Sekolah di Kementerian Pengangkutan, di sini hari ini.
Dalam ucapannya, Anwar turut membangkitkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta isu melibatkan Tabung Haji dan FELDA yang menurutnya perlu diperbetulkan.
Menurut beliau, usaha menangani isu berkenaan perlu diteruskan bagi memastikan pentadbiran negara tidak lagi dibelenggu masalah penyelewengan dan salah guna kuasa.
Pada masa sama, kerajaan perlu memastikan keperluan asas rakyat termasuk pendidikan, kesihatan dan kebajikan terus diberikan perhatian sewajarnya.
Anwar turut menegaskan bahawa negara memerlukan kepimpinan yang berpegang kepada prinsip serta memahami kesukaran dihadapi rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Katanya, seseorang pemimpin tidak seharusnya menggunakan kedudukan dan kuasa untuk mengaut keuntungan atau memperkayakan diri.
Beliau turut mengingatkan bahawa Malaysia mempunyai kekuatan tersendiri menerusi perpaduan masyarakat pelbagai kaum yang bersama-sama menyumbang kepada pembangunan negara.
"Negara ini hebat. Tengok pemandu teksi, Melayu, Cina, India boleh duduk bersama, bangkitkan masalah bersama.
"Mengapa kita nak biarkan orang-orang yang merosakkan kita itu tentukan masa depan kita?" katanya lagi.