'Kalau tak sedar dari tidur, pasti saya rentung' - Mangsa kebakaran Bangsar

Bernama
Januari 28, 2019 09:10 MYT
Keadaan rumah kuarters KTMB yang hangus dijilat api di Jalan Lengkok Abdullah, Bangsar hari ini. - BERNAMA
"Saya masih tidur (ketika kejadian), terhidu bau asap dan rasa bahang panas sangat menyebabkan saya terjaga...saya terus lari keluar dengan hanya berseluar pendek...kalau saya tak terjaga pasti saya mati."
Itu detik cemas yang dilalui Mohamad Zamil Jumali, 30, yang kini tinggal sehelai sepinggang apabila rumah yang disewa bersama rakan sekerjanya musnah dalam kebakaran hari ini.
Kebakaran pada pukul 9.30 pagi itu memusnahkan 10 daripada 15 unit kuarters milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Jalan Lengkok Abdullah, Bangsar, di sini dan turut merebak ke tingkat tujuh Flat Sri Pahang yang terletak bersebelahan dengan kuarters itu.
Sejumlah 60 anggota dan pegawai bomba dan penyelamat bersama lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai, Hang Tuah, Taman Tun Dr Ismail, Sentul dan Seputeh mengambil masa kira-kira sejam untuk mengawal kebakaran.
Api dapat dipadam sepenuhnya pada pukul 12.20 tengah hari.
Kejadian itu turut menyebabkan dua kereta yang diparkir di kawasan berkenaan musnah terbakar.
Menceritakan kejadian itu, Mohamad Zamil, seorang pekerja penyelenggaraan di sebuah syarikat swasta yang bekerja syif malam hari ini, berkata api marak begitu cepat menyebabkan dia tidak dapat menyelamat barang-barang miliknya.
"Baju pun saya tak sempat pakai," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Mohamad Zamil berkata dia telah lapan tahun tinggal di kawasan rumah panjang itu.
Sementara itu, Muhamad Hafiz Abdullah, 27, berkata ketika kejadian, dia keluar bekerja dan hanya mengetahui apabila dihubungi rakan serumah.
"Saya bergegas pulang tapi semua dah musnah terbakar...tak ada barang yang dapat diselamatkan. Apa pun saya redha," katanya.
Punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat. -- Bernama
#Bangsar #Jalan Lengkok Abdullah #kebakaran #kuarters KTMB