[TERKINI] Lagi Kes Serangan Seksual di Sekolah: 4 Pelajar Ditahan di Baling – Klik untuk Laporan Penuh
MALAYSIA

'Kalau tegur merajuk' - Ibu biar anak perempuan tidur bersama tunang di rumah keluarga

Sinar Harian 16/10/2025 | 03:40 MYT
Pemeriksaan mendapati lelaki berusia 30-an dan wanita 20-an itu belum menetapkan tarikh pernikahan walaupun telah bertunang selama dua tahun. - Gambar hiasan
JOHOR BAHRU: Tindakan pasangan tunang tidur sebilik di rumah keluarga wanita itu tanpa halangan daripada ibu sendiri mengundang padah apabila kediaman mereka diserbu penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), pada Rabu.


Ringkasan AI
  • Pasangan tunang ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas didapati tidur sebilik di rumah keluarga wanita itu tanpa halangan daripada ibunya, dalam serbuan kira-kira jam 2 pagi Rabu lalu.
  • Pemeriksaan mendapati lelaki berusia 30-an dan wanita 20-an itu belum menetapkan tarikh pernikahan walaupun telah bertunang selama dua tahun, dan ibu wanita mengaku mengetahui keadaan tersebut tetapi tidak menegur kerana bimbang anak berkecil hati.
  • Pasangan itu disiasat di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana disyaki berkhalwat, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.


Dalam operasi kira-kira jam 2 pagi itu, sepasukan anggota JAINJ menyerbu sebuah unit pangsapuri di daerah ini selepas menerima aduan awam mengenai kegiatan tidak bermoral di lokasi berkenaan.

Menurut JAINJ, setibanya di lokasi, pintu grill rumah tersebut didapati tidak berkunci sebelum dibuka kira-kira empat minit kemudian oleh seorang wanita berusia lingkungan 40-an.

Katanya, pemeriksaan lanjut menemui beberapa kanak-kanak berada di ruang tamu, manakala sebuah bilik yang berkunci dibuka lima minit kemudian oleh seorang wanita berusia 20-an yang berpakaian santai.

"Di dalam bilik itu turut ditemui seorang lelaki berusia 30-an sedang duduk di atas katil. Hasil soal siasat mendapati pasangan terbabit merupakan tunang sejak dua tahun lalu namun belum merancang tarikh pernikahan.

"Lelaki berkenaan berstatus duda anak satu dan bekerja di seberang Tambak Johor manakala wanita tersebut bekerja di Johor Bahru. Mereka dikatakan berkenalan ketika bekerja di sebuah pasar raya," katanya dalam kenyataan.

Lebih mengejutkan, ibu wanita berkenaan mengakui mengetahui anak dan tunangnya tidur sebilik, namun tidak menegur kerana bimbang anak terasa hati.

“Kalau tegur, anak merajuk,” katanya ringkas ketika ditanya penguat kuasa.

Difahamkan, lelaki berkenaan menyewa rumah lain tidak jauh dari lokasi serbuan dan hanya datang pada hari-hari tertentu.

Pasangan terbabit ditahan bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana disyaki berkhalwat.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali. - Sinar Harian





#khalwat #gejala sosial #masalah keluarga #Jabatan Agama Islam Negeri Johor