Kalimah Allah: Elak bahas secara terbuka, bimbang cetus kekeliruan - PM Anwar

Hilmi Malik
Mei 25, 2023 08:51 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu hadir pada Majlis Muzakarah dan Umara sempena Festival Turath Islami Selangor 2023, hari ini. - Foto Bernama
SHAH ALAM: Isu kalimah Allah tidak seharusnya menjadi perkara yang dibahaskan secara terbuka, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ujarnya, situasi itu dikhuatiri mampu mencetuskan persoalan yang menimbulkan keraguan.
Jelas Perdana Menteri, pendirian kerajaan untuk menarik balik semula rayuan terhadap penggunaan kalimah Allah dan tiga perkataan lain selepas perkara berkenaan dirujuk mufti-mufti serta Raja-Raja Melayu.
“Maksudnya, umat Islam di Semenanjung Tanah Melayu sahaja boleh gunakan kalimah Allah untuk mengelakkan kekeliruan dan masalah dakyah agama lain, maka agama lain tidak diizinkan.
"Kemudian untuk Sabah dan Sarawak, ada sedikit kelonggaran dengan syarat-syarat yang ketat supaya tidak timbul kekeliruan.
“Kalimah Allah boleh dibahas, tetapi dalam majlis tertutup. Tidak patut mengelirukan umat, namun kita masih dituduh menggadaikan dan mengkhianati amanah rakyat,” katanya.
Beliau berrkata demikian ketika menghadiri program Muzakarah Ulama-Umara sempena Festival Turath Islami Selangor di sini pada Khamis.
Perkara itu juga telah beberapa kali dijelaskan beliau sewaktu sidang Parlimen yang hanya khusus kepada umat Islam di Semenanjung Malaysia.
Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran.
#Kalimah Allah #Anwar Ibrahim #titah Raja-Raja Melayu #majlis tertutup