Kalimah Allah: Tiada larangan buat penganut Kristian di Sarawak

Astro Awani
Mac 18, 2021 07:39 MYT
Kerajaan Negeri Sarawak sentiasa memelihara keharmonian agama di negeri itu dan ia dibuktikan dengan penubuhan Unit Hal Ehwal Agama Lain atau UNIFOR. - Foto Astro AWANI
KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak memaklumkan tiada larangan bagi penganut Kristian di negeri itu untuk menggunakan kalimah Allah.
Pejabat Ketua Menteri Sarawak dalam kenyataannya hari ini berkata kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus mempertahankan dan memelihara toleransi beragama di Sarawak.
Malah ia disifatkan sebagai salah satu faktor penyatuan utama perpaduan rakyat di negeri itu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang bangsa dan agama.
Kata kenyataan itu lagi, Sarawak konsisten dengan dasar toleransi agama sejak pentadbiran Tun Abdul Taib Mahmud sehingga kini di bawah pimpinan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
BACA: Sultan Johor zahir rasa dukacita kebenaran penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam
BACA: Sesiapa pun tidak harus dilarang guna perkataan Allah, namun ada sempadan - Abdul Hadi
“Penganut Islam di Sarawak menghormati orang Kristian, sama seperti penganut Kristian menghormati orang Islam, dan begitu juga dengan penganut dari agama lain.
“Ini dibuktikan dengan kesungguhan kerajaan Sarawak dalam memastikan nasib penganut agama lain turut diberi keutamaan dengan penubuhan Unit Hal Ehwal Agama Lain atau UNIFOR,” kata kenyataan itu.
#Kalimah Allah #Sarawak #Islam #Kristian #Abdul Taib Mahmud #Ketua Menteri #perpaduan #toleransi