[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla kini di zon berisiko tinggi menuju Gaza. Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

Kamera AwAS berjaya kurangkan kemalangan di Terowong Menora - JPJ

Sinar Harian 01/10/2025 | 09:45 MYT
Muhammad Kifli (tengah) ketika sidang akhbar di Stesen Penguat Kuasa Kalumpang, Hulu Selangor pada Rabu.
HULU SELANGOR: Pemasangan kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) di Terowong Menora, Perak berjaya mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di lokasi itu dengan ketara.


Ringkasan AI
  • Pemasangan kamera AwAS berjaya mengurangkan kadar kemalangan secara ketara di Terowong Menora, dengan hampir dua bulan tanpa sebarang insiden berbanding sebelumnya yang mencatatkan kemalangan hampir setiap minggu.
  • Tujuan utama sistem AwAS adalah untuk mendidik pemandu agar lebih berhati-hati di kawasan berisiko tinggi, bukan semata-mata untuk mengutip saman; namun masih terdapat pemandu yang melanggar had laju.
  • Dua kamera AwAS di lokasi tersebut merekodkan sekitar 3,000 saman setiap hari, terutama pada waktu puncak seperti musim perayaan dan cuti sekolah, menunjukkan tahap kepatuhan yang masih perlu ditingkatkan.


Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, sebelum ini lokasi berkenaan merekodkan jumlah kes kemalangan hampir setiap minggu.

“Selepas pemasangan AwAS, kadar kes menurun dengan ketara dan hampir dua bulan tidak mencatatkan sebarang kemalangan, sedangkan sebelum ini boleh dikatakan berlaku hampir setiap minggu.

“Ini membuktikan keberkesanan sistem ini dalam meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya,” katanya ketika sidang akhbar di Stesen Penguatkuasa Kalumpang di sini pada Rabu.

Turut hadir Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan.

Tambah Muhammad Kifli, tujuan utama pemasangan kamera AwAS bukanlah untuk mengutip saman, sebaliknya mendidik pemandu supaya lebih berhati-hati, khususnya di kawasan yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan.

Katanya, pemandu perlu berhati-hati bukan sahaja di lokasi pemasangan kamera AwAS tetapi juga di laluan lain.

“Masih ada pemandu yang melanggar had laju, namun mesej utama yang kita mahu tekankan adalah kesedaran," ujarnya.

Media tempatan sebelum ini melaporkan sebanyak 3,000 notis saman dikeluarkan setiap hari menerusi AwAS melibatkan kesalahan memandu melebihi had laju di Terowong Menora, Ipoh di Perak.

Jumlah saman tersebut diperoleh menerusi dua kamera AwAS yang dipasang pada kedua-dua arah di Lebuhraya Utara Selatan.

Notis saman tersebut paling banyak direkodkan pada waktu puncak terutamanya semasa musim perayaan atau cuti persekolahan. - Sinar Harian





#kamera AWAS #Terowong Menora #JPJ #kemalangan maut